Peningkatan permintaan produk perlindungan AI kukuhkan prospek LGMS, Mercury Securities kekalkan saranan 'Beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan permintaan produk perlindungan AI kukuhkan prospek LGMS, Mercury Securities kekalkan saranan 'Beli'

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 JunLGMS Bhd dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh dalam tempoh dua tahun akan datang, disokong pelancaran produk keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI), sumbangan stabil daripada Antarex Holdings serta peningkatan permintaan terhadap penyelesaian keselamatan siber.

 

Sehubungan itu, Mercury Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat dengan harga sasaran (TP) RM0.62, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sasaran sebanyak 23 kali bagi unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 2.7 sen.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek LGMS kekal positif susulan taklimat pelabur yang diadakan baru-baru ini, dengan syarikat kini mempunyai beberapa pemangkin pertumbuhan yang dijangka menyokong prestasi kewangan sepanjang baki tahun ini.

 

"Produk AI yang dibangunkan sendiri oleh LGMS serta penyelesaian AI yang dibangunkan bersama Infomina Berhad kini mula menerima minat daripada pelanggan.

 

"Pada masa sama, peningkatan ancaman siber yang dipacu AI dijangka terus merangsang permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Mercury Securities, Antarex Holdings akan terus menjadi penyumbang penting kepada pendapatan kumpulan selepas LGMS memperoleh pegangan 27% dalam syarikat itu pada suku pertama FY26.

 

Antarex kini berada di landasan untuk memenuhi jaminan keuntungan tiga tahun sebanyak RM24.5 juta, yang dijangka membolehkan LGMS mengiktiraf kira-kira RM7.8 juta sebagai bahagian keuntungan bagi FY26.

 

Selain itu, kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat turut mula membuahkan hasil apabila lima projek jualan silang sedang dilaksanakan.

 

Antarex juga sedang membangunkan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) generasi baharu yang dipacu AI, sekali gus dijangka mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang.

 

Dua Rumusan Baharu

Dalam usaha memperluaskan penawaran AI, LGMS memperkenalkan dua rumusan baharu iaitu LLM Penetration Testing dan LSAST Scanner.

 

Perkhidmatan LLM Penetration Testing membantu organisasi menguji tahap keselamatan sistem AI mereka bagi mengenal pasti kelemahan sebelum digunakan secara meluas, manakala LSAST Scanner menggunakan AI untuk mengesan kelemahan keselamatan siber secara automatik pada kelajuan yang jauh lebih pantas.

 

LSAST Scanner dijangka dilancarkan sebagai perkhidmatan berasaskan langganan (SaaS) pada suku ketiga FY26 dan kedua-dua produk tersebut dihoskan sepenuhnya di Malaysia bagi memastikan keselamatan data pelanggan.

 

Dalam perkembangan lain, LGMS dijangka mula menjana pendapatan daripada produk AI yang dibangunkan bersama Infomina Berhad bermula suku ketiga hingga suku keempat FY26 selepas pembangunan produk itu hampir selesai.

 

Mercury Securities berkata, kedudukan LGMS dalam industri turut diperkukuh selepas syarikat itu sekali lagi disenaraikan sebagai Representative Vendor dalam Gartner Market Guide for Cyber Security Incident Response Retainer 2026, sekali gus mengukuhkan reputasinya di peringkat global.

 

Menurut firma itu, peningkatan ancaman siber berasaskan AI dijangka mengubah landskap keselamatan digital apabila organisasi semakin beralih kepada pemantauan dan pengesahan keselamatan secara berterusan berbanding penilaian tahunan.

 

Perkembangan itu dijangka memberi manfaat kepada LGMS memandangkan syarikat mempunyai kepakaran dalam penilaian kerentanan masa nyata serta penyelesaian keselamatan siber berasaskan AI.

 

Selain itu, penguatkuasaan Akta Keselamatan Siber Malaysia 2024 dijangka terus menyokong pertumbuhan permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber.

 

Sehubungan itu, Mercury Securities mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY26 dan FY27 serta harga sasaran RM0.62 sesaham, sambil berpandangan penilaian semasa saham LGMS masih menarik susulan penyusutan harga saham baru-baru ini. - DagangNews.com