KUALA LUMPUR 26 Jun — Enest Group Berhad menyasarkan kutipan dana RM15.11 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bersempena perpindahan penyenaraian dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.
Kumpulan pemprosesan sarang burung walit tempatan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, syarikat menawarkan 116.25 juta saham baharu pada harga tawaran 13 sen sesaham.
Langkah strategik itu menyaksikan permohonan IPO dibuka hari ini sehingga tarikh tutup pada 2 Julai 2026, sebelum syarikat tersebut didagangkan dalam senarai papan baharu mulai 15 Julai 2026.
"Berdasarkan harga tawaran, modal pasaran Enest dijangka mencecah RM75.56 juta sebaik disenaraikan sekali gus memperkukuhkan kedudukan sebagai pemain utama industri sarang burung global," jelasnya.
Syarikat yang berpangkalan di Kajang, Selangor ini terlibat dalam pemprosesan dan penjualan sarang burung walit bersih (RCEBN) serta perdagangan sarang burung mentah sejak ditubuhkan pada 2018.
Tambahnya, daripada keseluruhan IPO itu, sebanyak 29.06 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala baki untuk pengarah, kakitangan syarikat serta pelabur diluluskan kerajaan.
Prospek Positif Industri Sarang Burung Walit
Mengenai penggunaan dana tersebut, Enest merancang RM6.41 juta atau 42.4% bagi modal kerja untuk menampung pertumbuhan operasi harian dan mengurangkan pergantungan kepada pembiayaan luar.
"Sebanyak RM5 juta lagi akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank, manakala baki RM3.7 juta diperuntukkan bagi menampung anggaran kos penyenaraian syarikat ke Pasaran ACE," jelasnya.
Mengulas mengenai prospek, industri sarang burung di Malaysia ujarnya dijangka berkembang dipacu peningkatan kesedaran kesihatan dan permintaan tinggi dari China sebagai pasaran eksport terbesar.
Enest yang disenaraikan di Pasaran LEAP sejak 2019, ketika ini memegang reputasi kukuh sebagai antara 10 syarikat Malaysia teratas yang mengeksport paling banyak RCEBN mengikut volum ke China.
Prestasi kewangan syarikat menunjukkan trend meningkat dengan hasil mencecah RM158.38 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, naik berbanding RM146.21 juta pada tahun sebelumnya.
"M&A Securities bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Penjamin Emisi, dan Agen Penempatan bagi pelaksanaan IPO ini, yang dijadualkan melalui proses pengundian pada 6 Julai 2026. - DagangNews.com








