Aeronas raih tempahan 50 pesawat ringan berjumlah RM357 juta dari syarikat Hong Kong, Wholechoice | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeronas raih tempahan 50 pesawat ringan berjumlah RM357 juta dari syarikat Hong Kong, Wholechoice

RAJA SHAHZREEN PETRA Raja Azman Shah Petra (kiri) bertukar dokumen perjanjian pembelian pesawat ringan dengan Pengasas dan Prinsipal Konsortium Wholechoice, Mr Ho di MAEPS Serdang, Selangor.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Jun — Malaysia melakar sejarah baharu dalam industri aeroangkasa apabila Aeronas Aerocraft Sdn Bhd meraih tempahan 50 unit pesawat ringan yang bernilai AS$85 juta (RM357 juta).

 

Syarikat yang berstatus Bumiputera dan beribu pejabat di Senai, Johor itu dalam kenyataan berkata, tempahan diperoleh menerusi kerjasama strategik dengan Konsortium Wholechoice dari Hong Kong.

 

Pihak berkenaan ujarnya, akan membeli sejumlah 30 unit pesawat model MYPX5 MARK I dan MYPX5 MARK II, manakala tambahan kira-kira 20 unit lagi dijangka dimuktamadkan menjelang September 2026.

 

"Pencapaian ini signifikan kerana Malaysia lebih dikenali sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) serta pengeluar komponen untuk banyak syarikat global," kata Aeronas.

 

Pengumuman terbaharu itu dilakukan bersempena penyertaan syarikat berkenaan yang ditubuhkan sejak 2023, dalam Persidangan Kemuncak MyAERO 2026 yang berlangsung di Tapak MAEPS Serdang, Selangor.

 

Menurutnya, penghantaran pertama 15 pesawat dijadualkan berperingkat mulai suku pertama dan kedua 2027 bagi menyokong operasi sekolah penerbangan serta perniagaan pajakan pesawat di rantau Asia.

 

Perjanjian itu jelas Aeronas, menyaksikan Wholechoice dilantik sebagai pengedar serantau pertama bagi pesawat keluaran syarikat tersebut dan membuka laluan kepada pengembangan ke Asia Pasifik.

 

Aeronas_DagangNews2026
RAJA SHAHZREEN PETRA Raja Azman Shah Petra (kiri) menyampaikan replika cek wakaf bernilai RM51 juta kepada Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin bersempena MyAero Summit 2026 di MAEPS Serdang, Selangor.

 

 

"Kumpulan ini meraih teknologi dan hak berkaitan program pesawat melalui pengambilalihan strategik daripada MAEL Aircraft Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS)," jelasnya lagi.

 

Pengarah Urusan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Shahzreen Petra Raja Azman Shah Petra berkata, langkah syarikat membolehkan Malaysia mempercepatkan industri pembuatan pesawat.

 

Beliau berkata, program pesawat dibangunkan Aeronas berasaskan pensijilan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA), dengan piawaian keselamatan berprestij bagi pesawat ringan.

 

Selain itu, syarikat turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pertama di Malaysia membangunkan program pembuatan pesawat ringan pelbagai guna berasaskan platform daripada FAA.

 

"Jika pembangunan pesawat tempatan sendiri dibuat dari peringkat awal, proses ini boleh mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun dengan kos mencecah ratusan juta dolar," kata Raja Shahzreen Petra.

 

Ketika ini, Aeronas mengendalikan fasiliti pembuatan di Senai dan Iskandar Puteri, Johor dengan kapasiti semi-pengeluaran sebanyak 30 pesawat setahun, sebelum ditingkatkan kepada 60 pesawat setahun.

 

Perkembangan positif berkenaan ujar beliau, susulan barisan pengeluaran tambahan melibatkan kemudahan baharu syarikat itu mula beroperasi pada suku keempat tahun ini. - DagangNews.com