KUALA LUMPUR 26 Jun - Keuntungan bersih MR DIY diunjur meningkat kira-kira 14% kepada RM724 juta pada 2026, disokong oleh pengembangan rangkaian kedai, margin keuntungan yang stabil serta keuntungan pertukaran asing, menurut UOB Kay Hian (UOBKH).
Bagaimanapun firma itu berkata, penyusutan nilai ringgit berbanding yuan China boleh memberi tekanan kepada pendapatan syarikat pada 2027 memandangkan MR DIY tidak melaksanakan strategi lindung nilai ke atas pembeliannya dan memperoleh sebahagian besar barangan daripada China.
Katanya, setiap penyusutan 1% nilai ringgit berbanding yuan dianggarkan boleh mengurangkan pendapatan MR DIY bagi tahun kewangan 2027 sekitar 2.2%.
"Perniagaan runcit gaya hidup KKV masih menjadi penghalang kepada prestasi kumpulan apabila kesemua 39 cawangan sedia ada terus mencatatkan kerugian pada peringkat pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA)," katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya UOBKH, KKV masih berdepan cabaran dari segi kesesuaian produk dengan pasaran tempatan dan kos logistik pihak ketiga yang lebih tinggi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampanan pelan pengembangannya dalam tempoh sederhana.
Sebaliknya, format kedai teras MR DIY terus menawarkan prospek pertumbuhan yang lebih meyakinkan.
Firma itu berkata, pembukaan kedai MR DIY Plus, kerja naik taraf cawangan sedia ada serta pengembangan di Malaysia Timur dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan.
"Cawangan yang dinaik taraf mencatatkan peningkatan jualan antara 5% hingga 10%, manakala beberapa kedai di Malaysia Timur merekodkan prestasi sehingga dua kali ganda lebih tinggi berikutan tahap persaingan yang lebih rendah dan pasaran yang masih kurang diterokai," katanya.
MR DIY menyasarkan pembukaan kira-kira 120 kedai teras baharu dan sekitar 25 cawangan KKV pada tahun ini.
Namun, UOB Kay Hian menjangkakan kumpulan itu mampu menambah sekitar 155 kedai bersih baharu berdasarkan rekod lalu yang sering melepasi sasaran pengembangan.
Sehubungan itu firma berkenaan mengekalkan saranan *"Beli"* terhadap saham MR DIY dengan harga sasaran RM2.30 sesaham, selepas mendapati prestasi jualan di kedai sama syarikat itu semakin stabil manakala margin keuntungan dijangka kekal lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Walaupun margin kasar dijangka menyederhana daripada paras rekod yang dicatatkan pada suku pertama susulan pelaksanaan kempen penguncian harga (price-lock campaign), ia masih dijangka mengatasi paras yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com








