Reformasi kesihatan swasta dipercepat, pelan insurans asas bakal dirintis akhir Julai 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reformasi kesihatan swasta dipercepat, pelan insurans asas bakal dirintis akhir Julai 2026

Gambar hiasan
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Jun — Kementerian Kewangan (MoF) memberi jaminan reformasi secara menyeluruh ke atas sektor penjagaan kesihatan swasta dipercepat bagi memastikan kos rawatan kekal mampu milik.

 

Menurut Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS), langkah itu memastikan rakyat tidak dibebankan apabila menerima rawatan di fasiliti bukan di bawah kerajaan.

 

Pihaknya juga sudah mengambil maklum laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta serta meneliti semua syor yang dikemukakan.

 

JBMKKS yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu selaras hala tuju Strategi RESET.

 

"Setiap syor PAC itu juga akan dipertimbangkan dengan sewajarnya bagi memperkukuh dan mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan sektor penjagaan kesihatan swasta," tegasnya dalam kenyataan.

 

Tambah JBMKKS, matlamat utama usaha ini adalah untuk menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang lebih telus, mampu milik dan mampan demi manfaat dirasai oleh semua rakyat Malaysia.

 

penjagaan kesihatan_DagangNews2026

 

Sejak Strategi RESET dilancarkan, ia menerajui pembaharuan bersepadu melibatkan MoF, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem tersebut.

 

Usaha itu katanya, memberi tumpuan faktor-faktor penyumbang kepada isu peningkatan kos penjagaan kesihatan termasuk pendorong jangka pendek dan faktor struktur yang mencetuskan inflasi perubatan.

 

"Antara perkembangan terbaharu, pelan asas Malaysia Health Insurance and Takaful (MHIT) dijangka dapat memasuki fasa pelaksanaan rintis menjelang akhir Julai 2026," jelas kenyataan tersebut.

 

Selain itu, beberapa inisiatif utama dilaksanakan secara berperingkat termasuk penggunaan sistem Diagnosis-Related Group (DRG) sebagai mekanisme pembayaran kepada penyedia perkhidmatan kesihatan.

 

JBMKKS turut memaklumkan penambahbaikan mekanisme penyelesaian pertikaian dan usaha pengukuhan sistem kesihatan digital sedang dilakukan bagi meningkatkan kecekapan serta ketelusan sektor itu.

 

Komitmen untuk pelaksanaan Strategi RESET berjalan mengikut jadual dan ia memaklumkan perkembangan terkini selepas mesyuarat jawatankuasa yang dijadualkan berlangsung pada Julai 2026. - DagangNews.com