RTM kembali bersiaran di Astro | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RTM kembali bersiaran di Astro

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Jun - Rakyat Malaysia akan terus menikmati saluran TV1, TV2 dan TV Okey di platform Astro, NJOI dan Sooka menerusi kerjasama strategik di antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen tv satelit swasta itu.

 

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, saluran Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian saluran radio RTM pula akan mula tersedia kepada pelanggan Astro dalam masa terdekat.  

 

Perkembangan itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik yang diperkukuh antara RTM dan Astro bagi memastikan kandungan tempatan yang berkualiti dapat diakses oleh lebih ramai rakyat melalui pelbagai platform penyiaran.

 

"Peluasan ini dijangka meningkatkan akses rakyat kepada kandungan awam yang berkualiti, dipercayai dan relevan, di samping memperkukuh penyampaian maklumat berkepentingan nasional kepada pelbagai lapisan masyarakat," kata kenyataan itu.

 

Kedua-dua pihak berpandangan landskap media massa kini memerlukan pendekatan lebih progresif dan inklusif, selaras dengan perkembangan teknologi serta perubahan corak penggunaan media.

 

Melalui kerjasama itu, RTM dan Astro komited memperluas inisiatif yang mampu merancakkan pembangunan kandungan tempatan selain memperkasa bakat kreatif negara.

 

Ia juga bertujuan menyumbang kepada pertumbuhan industri media yang lebih mampan, berdaya saing serta relevan dengan kehendak semasa.

 

RTM dan Astro turut berkongsi aspirasi untuk mewujudkan ekosistem media yang mampan, mesra pengguna serta memberikan nilai terbaik kepada rakyat.

 

Seiring perkembangan teknologi dan kepelbagaian platform media, kedua-dua pihak yakin kerjasama erat antara pemain industri penting bagi memastikan kandungan berkualiti terus diakses dengan kos berpatutan.

 

RTM sebelum ini memaklumkan akan menghentikan perkhidmatan siaran saluran-salurannya di platform satelit Astro bermula 1 Julai ini selepas hampir 30 tahun kerjasama.

 

Dalam satu pekeliling bertarikh 11 Mei, RTM memaklumkan kedua-dua pihak ketika ini berdepan kesukaran untuk 'mencapai persetujuan harga' dan kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan masing-masing. - DagangNews.com