KUALA LUMPUR 25 Jun — PT Resources Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih RM4.37 juta bagi suku keempat berakhir 30 April 2026, berbanding keuntungan bersih RM4.07 juta bagi tempoh 4QFY25.
Penyusutan 207.4% ini disebabkan penurunan jualan eksport ke pasaran Timur Tengah dan China akibat ketegangan geopolitik dan harga minyak yang tinggi, selain pengiktirafan kerugian rosak nilai.
Syarikat tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perolehan dicatatkan sebanyak RM121.6 juta, susut kira-kira 29.5% daripada RM172.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Prestasi secara kumulatif setahun penuh bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026, mencatatkan kerugian bersih RM11.6 juta daripada keuntungan bersih RM12.24 juta," jelas PT Resources lagi.
Selain gangguan eksport, prestasi turut terjejas akibat kerugian RM16.9 juta berkaitan insiden kebakaran di fasiliti pemprosesan kelapa miliknya di wilayah Fujian, China pada September 2025.
Bagaimanapun ujar kumpulan itu, di sebalik cabaran global, permintaan domestik masih menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan yang disokong oleh kempen promosi dan pengembangan saluran jualan.
PT Resources kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan makroekonomi global termasuk turun naik mata wang dan ketegangan geopolitik, serta percaya gangguan eksport berlaku adalah bersifat sementara.
"Lembaga Pengarah syarikat ini turut berasa yakin terhadap asas permintaan jangka panjang bagi produk makanan laut syarikat, serta strategi pengukuhan kedudukan kumpulan di pasaran," tambahnya.
Antaranya menerusi kecekapan operasi dan pengurusan kos secara berhemah, serta saluran jualan domestik melalui inisiatif digital, termasuk penggunaan luas aplikasi mudah alih 'MO Wholesale'.
Di samping itu, PT Resources akan meluaskan pasaran antarabangsa melalui penyertaan aktif dalam pameran perdagangan untuk meningkatkan keterlihatan jenama. - DagangNews.com








