KUALA LUMPUR 26 Jun - Ibraco Berhad meraih tumpuan susulan pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi projek tenaga solar di Similajau, Bintulu di Sarawak, yang disifatkan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan kumpulan selain perniagaan teras hartanah dan pembinaan.
TA Research mengekalkan pandangan positif terhadap Ibraco Berhad susulan kedudukan kukuh kumpulan itu di Sarawak yang dijangka terus menyokong jualan hartanah serta penambahan kerja pembinaan pada margin melebihi purata. Saranan Beli turut dikekalkan.
Firma penyelidikan itu juga tidak mengubah harga sasaran (TP) berasaskan Sum-of-Parts (SOP) pada RM1.52 sesaham buat masa ini, sementara menunggu kejelasan lanjut mengenai terma komersial utama bagi usaha solar berkenaan.
Segmen Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) itu dilihat menambah dimensi pendapatan berulang kepada profil pertumbuhan Ibraco, melengkapi perniagaan sedia ada dalam pembangunan hartanah dan pembinaan.
Pada 25 Jun, Ibraco memaklumkan bahawa Equinox Power Sdn Bhd, yang dilaporkan 24.5 peratus dimiliki oleh Ibraco, telah menandatangani PPA selama 30 tahun dengan syarikat SESCO Berhad bagi pembangunan loji penjanaan tenaga solar fotovoltaik berkapasiti 100MWac di Similajau, Bintulu, Sarawak.
Di bawah PPA itu, Equinox akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengoperasi dan menyelenggara kemudahan berkenaan serta menjual tenaga yang dijana kepada SESCO. Loji tersebut disasarkan mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada Disember 2029.
Sertai Sektor REE
Menurut TA Research, pengumuman tersebut tidak mengejutkan sepenuhnya kerana pengurusan sebelum ini telah memberi isyarat bahawa tenaga boleh diperbaharui berpotensi menjadi satu lagi bidang pertumbuhan untuk Ibraco.
Pemeteraian PPA itu memberikan lebih kejelasan terhadap penglibatan kumpulan dalam sektor tenaga hijau, dengan projek berkenaan distrukturkan di bawah model pengeluar tenaga bebas (IPP).
Berdasarkan anggaran TA Research, projek solar 100MWac di Sarawak lazimnya melibatkan kos pembangunan sekitar RM380 juta. Dengan andaian tarif sebanyak 16 sen/kWh serta pegangan 24.5 peratus Ibraco dalam Equinox Power, kumpulan itu diunjurkan menjana sumbangan pendapatan bersekutu purata sekitar RM0.6 juta setahun selepas loji beroperasi.
Walaupun sumbangan ini kecil berbanding asas pendapatan sedia ada Ibraco, ia dilihat sebagai permulaan kepada potensi pendapatan berulang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui pada masa depan.
TA Research mengekalkan unjuran kewangan tanpa perubahan buat masa ini memandangkan tarikh operasi komersial hanya disasarkan pada Disember 2029, manakala terma komersial penting seperti tarif akhir, kos sebenar projek dan struktur pembiayaan masih belum didedahkan. - DagangNews.com








