TAWAU 26 Jun — Di sebalik persepsi negatif yang sering dilemparkan terhadap industri sawit Malaysia di peringkat antarabangsa, satu inisiatif pemuliharaan di Sabah membuktikan kelestarian bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan menerusi penyelidikan saintifik dan tindakan di lapangan bagi memastikan pembangunan industri serta pemeliharaan biodiversiti bergerak seiring.
Usaha yang diterajui Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) bersama Sabah Softwoods Berhad (SSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah itu kini sedang menjalankan kajian penanaman rumput Napier sebagai sumber makanan alternatif bagi gajah Borneo di sepanjang koridor hidupan liar.
Kajian itu adalah satu lagi bukti komitmen berterusan industri sawit negara dalam memperkukuh agenda kelestarian menerusi pendekatan berasaskan sains yang menunjukkan usaha pemuliharaan biodiversiti sentiasa menjadi sebahagian daripada pembangunan sektor berkenaan.
Kajian terkini berkaitan rumput Napier itu menyusuli kejayaan Koridor Gajah yang diwujudkan sejak 2013 apabila inisiatif berkenaan berjaya mengurangkan kerugian akibat pencerobohan gajah liar di kawasan perladangan Sabah Softwoods daripada kira-kira RM500,000 setahun kepada hanya sekitar RM5,000 setahun.

Eksekutif Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF, Ts Daniel Pamin berkata projek bagi tempoh 2024 hingga 2026 itu menerima pembiayaan RM500,000 daripada MPOGCF dan kini berada pada peringkat akhir sebelum hasil kajian dibentangkan.
Beliau berkata kajian dijalankan di Ladang Sabah Softwoods (Brumas), Tawau yang merupakan laluan penting bagi pergerakan gajah Borneo antara habitat hutan di timur Sabah.
"Projek ini mempunyai dua objektif utama iaitu menilai keberkesanan serta kesesuaian kaedah penanaman dan pengurusan rumput Napier di dalam koridor hidupan liar.
"Selain itu, kajian ini turut menilai keberkesanan penanaman rumput Napier dalam meningkatkan penggunaan koridor hidupan liar serta pergerakan gajah liar melalui laluan berkenaan," katanya kepada media yang mengikuti program lawatan ke lokasi pemuliharaan MPOGFC selama empat hari ke Tawau dan Sandakan.
Dua varieti rumput Napier dari Thailand dan Taiwan dipilih untuk ditanam di sepanjang koridor hidupan liar sejauh 14 kilometer kerana mempunyai kandungan nutrien yang tinggi, cepat membiak serta kos penanaman yang rendah.


Melalui penyediaan sumber makanan yang mencukupi, gajah liar dijangka lebih cenderung menggunakan koridor hidupan liar berbanding memasuki kawasan ladang atau penempatan manusia untuk mencari makanan, sekali gus mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar.
Menurut Daniel, pendekatan itu turut menyokong konsep kewujudan bersama manusia dan hidupan liar, selain membuktikan industri sawit mampu mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab memulihara alam sekitar.
Kajian itu memberi tumpuan kepada konflik manusia dan gajah yang berpunca daripada kehilangan habitat, fragmentasi landskap serta kekurangan sumber makanan semula jadi akibat perubahan guna tanah.
Kawasan projek terletak di antara Hutan Simpan Ulu Kalumpang seluas 51,118 hektar dan Hutan Simpan Ulu Segama seluas 242,884 hektar yang dihubungkan melalui koridor hidupan liar merentasi kawasan perladangan Sabah Softwoods.
Koridor yang diwujudkan hasil kerjasama Sabah Softwoods dan WWF-Malaysia pada 2013 itu kini dianggarkan digunakan oleh kira-kira 120 ekor gajah Borneo, selain menjadi laluan penting kepada spesies lain termasuk orang utan.


Sementara itu, Pengurus Sabah Softwoods, Mohd Hafizzul Samutu berkata bagi memperkukuh fungsi koridor berkenaan, sebanyak 15 hektar kawasan diperuntukkan untuk penanaman rumput Napier.
"Penyelidik UPM turut menilai beberapa varieti rumput bagi mengenal pasti jenis paling sesuai dengan keadaan tanah dan cuaca di Sabah serta tahap penerimaan gajah terhadap setiap varieti.
"Kolar satelit pada beberapa ekor gajah bagi memantau corak pergerakan haiwan itu. Data yang diperoleh akan membantu menilai keberkesanan koridor serta potensi penanaman rumput Napier dalam mengurangkan konflik manusia dan gajah.
"Sampel najis gajah turut diambil untuk dianalisis bagi mengenal pasti komposisi diet haiwan berkenaan, termasuk mengesahkan sama ada rumput Napier menjadi sebahagian daripada sumber makanannya, sebelum dihantar ke makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kajian lanjut," katanya.
Sekiranya kajian tersebut berjaya, ia bukan sahaja mampu menjadi model pengurusan konflik manusia dan hidupan liar di Malaysia, malah mengukuhkan lagi kedudukan industri sawit negara sebagai sektor yang mengangkat kelestarian melalui penyelidikan, inovasi dan pemuliharaan biodiversiti secara menyeluruh. - DagangNews.com








