Laporan IDEAS dedah agihan dana Persekutuan kepada negeri tidak telus | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Laporan IDEAS dedah agihan dana Persekutuan kepada negeri tidak telus

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Jun - Laporan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendedahkan kelemahan dalam sistem pemindahan dana awam kepada kerajaan negeri di Malaysia, termasuk ketiadaan peraturan yang jelas mengenai kaedah pengagihan dana.

 

Laporan bertajuk The Governance of Fiscal Transfers in Malaysia: Is it Rule-Based, Predictable, and Transparent? itu mendapati pelbagai kelemahan dalam sistem pemindahan fiskal negara, termasuk 23 mekanisme pemindahan fiskal yang masih aktif tetapi tidak berasaskan peraturan yang menyeluruh.

 

Walaupun sebahagian pemindahan dikawal selia menerusi peraturan yang jelas termasuk formula agihan dan prosedur pentadbiran, sebahagian lagi hanya mempunyai panduan minimum atau peraturan yang tidak ditakrifkan dengan baik.

 

Ketiadaan peraturan yang jelas dan boleh diakses oleh orang ramai menyebabkan sistem agihan kepada kerajaan negeri menjadi tidak menentu serta dilihat tidak adil.

 

Keadaan itu turut mengakibatkan turun naik ketara dari tahun ke tahun selain perbezaan besar antara jumlah pemindahan yang dianggarkan dengan jumlah sebenar diterima.

 

"Pada 2023, Sabah menerima hampir 50% lebih tinggi daripada jumlah pemindahan yang diunjurkan, manakala Terengganu hanya menerima 45% daripada jumlah yang dianggarkan.

 

"Ketidaktentuan seperti ini menjejaskan perancangan fiskal di peringkat negeri serta melemahkan kredibiliti belanjawan kerajaan negeri," kata Felo Kanan IDEAS dan penulis laporan tersebut, Sri Murniati Yusuf.

 

Kurang ketelusan

Laporan itu dilancarkan sempena Sidang Kemuncak Tanggungjawab Fiskal IDEAS 2026 yang dianjurkan dengan sokongan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia.

 

Menurut laporan itu, sistem pemindahan fiskal Malaysia turut dibelenggu masalah ketelusan kerana justifikasi perundangan serta senarai terperinci agihan peruntukan tidak didedahkan kepada umum.

 

Keadaan menjadi lebih rumit apabila pemindahan kepada negeri direkodkan di bawah akaun yang berbeza. Ada negeri merekodkan pemindahan fiskal di bawah akaun hasil, manakala negeri lain meletakkannya di bawah akaun amanah seperti Kumpulan Wang Amanah Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah Jalan Raya.

 

"Walaupun pengasingan rekod ini mungkin bertujuan meningkatkan akauntabiliti, rekod yang berselerak menyukarkan perbandingan dan penyelarasan antara angka kerajaan Persekutuan dan negeri, sekali gus menyukarkan penentuan jumlah sebenar pemindahan Persekutuan kepada kerajaan negeri," katanya.

 

Laporan itu mengukuhkan lagi gesaan sebelum ini supaya diwujudkan formula yang jelas dan telus bagi pengagihan hasil kepada kerajaan negeri. Perbincangan sebelum ini turut menunjukkan sistem sedia ada memberi kuasa yang besar kepada kerajaan Persekutuan dalam menentukan agihan.

 

"Pengagihan sumber antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sering menjadi isu pertikaian. Tanpa peraturan yang jelas, proses pemindahan boleh dilihat sebagai berat sebelah, menghakis kepercayaan serta mencetuskan ketegangan politik," kata Murniati.

 

Tiga cadangan

Beliau turut menekankan peranan Majlis Kewangan Negara (MKN) dalam menguruskan pemindahan kewangan antara kerajaan Persekutuan dan negeri. Majlis yang dianggotai wakil kedua-dua pihak itu bermesyuarat setiap tahun sebelum mengumumkan keputusannya.

 

Menurut Murniati, walaupun peranan MKN yang semakin berkembang dalam memperkenalkan mekanisme pemindahan baharu merupakan perkembangan positif, majlis itu masih memerlukan sokongan serta struktur yang lebih kukuh bagi membolehkannya berfungsi dengan lebih berkesan.

 

Laporan IDEAS itu diterbitkan ketika semakin banyak negeri menuntut bahagian hasil yang lebih besar serta autonomi fiskal yang lebih luas.

 

Sabah dan Sarawak menuntut peningkatan hak kewangan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), manakala Johor dan Pulau Pinang pula mahukan bahagian yang lebih besar daripada hasil yang dijana di negeri masing-masing.

 

Bagi menangani isu tersebut, IDEAS mengemukakan tiga cadangan utama iaitu mewujudkan garis panduan perundangan yang jelas mengenai pengagihan dana kepada kerajaan negeri, menubuhkan jawatankuasa khusus di bawah Majlis Kewangan Negara bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri, serta meningkatkan ketelusan keseluruhan proses pemindahan fiskal.

 

IDEAS turut mengesyorkan supaya rangka kerja perundangan diperkukuh dengan memastikan semua pemindahan fiskal berasaskan peruntukan Perlembagaan atau undang-undang, disokong oleh garis panduan yang jelas dan boleh diakses oleh orang ramai, selain menetapkan syarat kelayakan serta formula pengiraan agihan dana secara telus dan terperinci. - DagangNews.com