Hari PMKS Sedunia 2026: Samenta tuntut kerajaan henti layan PMKS seperti kes kebajikan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hari PMKS Sedunia 2026: Samenta tuntut kerajaan henti layan PMKS seperti kes kebajikan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Jun — Kerajaan dituntut agar segera menghentikan pendekatan lama yang selama ini sering melihat masalah dialami perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai kes kebajikan.

 

Menurut Presiden Persatuan PMKS Malaysia (Samenta), Datuk William Ng, pihak berkuasa sebaliknya digesa melaksanakan reformasi struktur pemerkasaan sektor itu sebagai pencipta kekayaan negara.

 

Tambah beliau dalam kenyataan, amalan berterusan menyediakan geran padanan dan pembiayaan kos rendah semata-mata tidak lagi memadai untuk menangani cabaran sebenar yang dihadapi usahawan PMKS.

 

"Pendekatan sedia ada hanya mewujudkan budaya kebergantungan, sedangkan kekangan utama ketika ini bukan kekurangan modal tetapi kelemahan pelaksanaan dan model yang tidak lagi relevan," katanya.

 

Beliau dalam perutusan bersempena Hari PMKS Sedunia 2026 menambah, kebanjiran geran untuk syarikat yang masih menggunakan model perniagaan lapuk hanya mengakibatkan perjalanan ke arah kegagalan.

 

Kaedah ini ujar Ng, bukannya menyelesaikan isu, dengan walaupun PMKS menggaji separuh pekerja di Malaysia dan menjana 97% perniagaan, sektor itu kini berdepan himpitan margin yang semakin serius 

 

Samenta William Ng
WILLIAM NG

 

Samenta jelas berpendapat, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan gambaran keuntungan syarikat kerana kenaikan kos bahan mentah, tarif utiliti, dan sewa premis menjejaskan margin perniagaan.

 

Justeru, beliau menuntut kerajaan melakukan reformasi terhadap sistem perbankan yang masih terlalu bergantung kepada cagaran aset fizikal, sedangkan ekonomi moden banyak dipacu pelbagai faktor.

 

"Kami turut bimbang berhubung peningkatan beban pematuhan melibatkan pelaksanaan e-invois, serta keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang belum difahami majoriti PMKS," kata Ng.

 

Pada masa sama, Samenta menggesa kerajaan mengkaji semula penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor komersial bukan strategik kerana mengecilkan ruang pasaran untuk PMKS bersaing.

 

Selain itu, rangka kerja buruh negara perlu dipinda bagi membolehkan pelaksanaan model pampasan berasaskan kemahiran selari perkembangan automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam ekonomi moden.

 

Malaysia ujarnya, wajar beralih daripada model 'Made in Malaysia' kepada 'Made by Malaysia' dengan memberi penekanan besar kepada pemilikan harta intelek, pembangunan jenama tempatan dan inovasi.

 

"Kesemua saranan dikemukakan Samenta ini harus dipertimbangkan jika negara mahu melihat PMKS berkembang daripada sekadar bertahan kepada pemain bertaraf global," jelasnya. - DagangNews.com