RTS, ETS Gemas-Johor Bahru lonjak ekonomi dan tingkatkan nilai serta permintaan hartanah, menurut CIMB Securities  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RTS, ETS Gemas-Johor Bahru lonjak ekonomi dan tingkatkan nilai serta permintaan hartanah, menurut CIMB Securities 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Jun - Pelaburan berterusan dalam infrastruktur jalan raya dan rel di Johor dijangka menjadi pemacu utama kepada transformasi ekonomi negeri itu apabila peningkatan perhubungan membuka lebih banyak peluang pembangunan, meningkatkan nilai tanah serta merangsang permintaan hartanah di koridor pertumbuhan baharu.

 

CIMB Securities berkata, pelaksanaan projek Rapid Transit System (RTS) Link yang dijadual memulakan operasi pada Januari 2027 dijangka memperkukuh lagi permintaan kediaman rentas sempadan daripada rakyat Singapura, sekali gus menyokong pertumbuhan pasaran hartanah di selatan Johor.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi jualan hartanah yang memberangsangkan di kawasan berkenaan menunjukkan permintaan asas kekal kukuh, khususnya bagi rumah bertanah.

 

Menurut CIMB Securities lagi pelancaran perkhidmatan Electric Train Service (ETS) Gemas-Johor Bahru pada Disember 2025 turut mempertingkatkan akses antara negeri dan memudahkan perjalanan ulang-alik ke Johor Bahru.

 

"Keadaan itu telah meluaskan kawasan tadahan permintaan kediaman serta mengukuhkan prospek pertumbuhan bukan sahaja di Johor Bahru, malah di daerah berhampiran seperti Kulai dan Kluang," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Laluan ETS Gemas-Johor Bahru yang dibangunkan oleh SIPP-YTL, usaha sama antara SIPP Rail Sdn Bhd dan YTL Construction, telah memendekkan tempoh perjalanan antara KL Sentral dan JB Sentral kepada kira-kira empat jam berbanding sekitar tujuh jam sebelum ini menggunakan perkhidmatan diesel.

 

SIPP-YTL merupakan subkontraktor tempatan utama bagi projek landasan berkembar elektrik bernilai RM8.9 bilion yang bermula pada Disember 2016.

 

Laluan sepanjang 192 kilometer itu menghubungkan Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru sebelum berakhir di JB Sentral.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengangkutan merancang memperoleh 10 tren baharu Electric Multiple Unit (EMU) dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bagi memperkukuh perkhidmatan Southern Shuttle di laluan ETS Gemas-Johor Bahru menerusi program pengembangan jangka panjang bernilai lebih RM200 juta.

 

Sehingga Jun 2026, dua tren EMU telah mula beroperasi di laluan tersebut.

 

Selain rangkaian rel, CIMB Securities berkata, penaiktarafan infrastruktur jalan raya seperti Persimpangan Gerbang Nusajaya dan susur Bestari Perdana turut membantu memperbaiki hubungan dengan lebuh raya utama di Johor, sekali gus mengurangkan kesesakan serta memendekkan masa perjalanan ke pembangunan Gerbang Nusajaya oleh UEM Sunrise dan Bestari Perdana oleh Mah Sing.

 

Menurut Kenny, prospek pertumbuhan itu akan terus diperkukuh menerusi projek Elevated Automated Rapid Transit (e-ART) yang dijangka meningkatkan hubungan jarak akhir (last-mile connectivity) di Greater Johor Bahru.

 

"Projek ini berpotensi meluaskan limpahan ekonomi ke kawasan pertumbuhan bersebelahan seperti Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri," katanya.

 

Bagaimanapun, beliau berpandangan pemangkin infrastruktur tersebut memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk direalisasikan berikutan cabaran pembiayaan projek berskala besar serta ketidaktentuan landskap politik.

 

Walaupun begitu, CIMB Securities percaya pembangunan rangkaian pengangkutan yang semakin menyeluruh akan terus mengukuhkan daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan dan hab pertumbuhan ekonomi, selain menyokong peningkatan nilai hartanah dalam jangka panjang. - DagangNews.com