Usaha kerajaan kawal pandemik, mampu bendung impak dalam pasaran buruh - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha kerajaan kawal pandemik, mampu bendung impak dalam pasaran buruh - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Keberkesanan usaha kerajaan dalam mengawal pandemik COVID-19 terutama dengan kemunculan varian baharu, Omicron dilihat mampu membendung impak terhadap pasaran buruh. 

 

Antaranya termasuklah sokongan dasar-dasar kerajaan, kemajuan positif yang dicapai dalam program vaksinasi negara serta langkah-langkah tambahan yang diambil bagi mengekang penularan varian baharu ini. 

 

Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.8 bilion dana bagi menjana dan mengekalkan pekerjaan di bawah Bajet 2022, seperti diumumkan 29 Oktober lalu.

 

UOB Global Economics & Markets Research dalam nota kajiannya berkata, meskipun Omicron boleh menjejaskan usaha pemulihan ekonomi, tetapi pendekatan yang diambil kerajaan secara tidak langsung dapat membantu mengekalkan pemulihan pasaran buruh menjelang 2022.

 

Katanya, sentimen perniagaan juga semakin bertambah baik seiring pembukaan semula ekonomi di seluruh negara secara berperingkat-peringkat. 

 

"Ini membolehkan kami mengekalkan unjuran kadar pengangguran tahun ini pada 4.2% (berbanding 4.8% tahun lalu) manakala 3.6% pada 2022," katanya hari ini. 

 

 

Baca : Kadar pengangguran Oktober susut 4.3%, terendah sejak April 2020

 

 

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam, menunjukkan kadar pengangguran pada Oktober menurun kepada 4.3%, paras terendah sejak April 2020.

 

Pada bulan tersebut, bilangan penganggur berkurangan sebanyak 3.4% kepada 705,000 berbanding 729,600 pada September. 

 

Bagaimanapun, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun bilangan penganggur berada dalam trend penurunan, tetapi secara relatifnya ia masih lebih tinggi berbanding tempoh prapandemik.

 

Sementara itu, MIDF Research mendapati kadar kekosongan jawatan Malaysia menunjukkan momentum menaik yang stabil, mencerminkan lebih banyak pekerjaan tersedia di pasaran.

 

"Kami menjangkakan pasaran buruh akan bertambah baik disokong pembukaan ekonomi seterusnya dalam suku keempat. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran kadar pengangguran bagi tahun ini pada purata 4.5%," katanya. - DagangNews.com