UPM, MSD Innovation teroka peluang pertanian pintar menerusi teknologi IoT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM, MSD Innovation teroka peluang pertanian pintar menerusi teknologi IoT

Sistem fertigasi berasaskan sistem IoT
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 April - Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) dan MSD Innovation Sdn Bhd mewujudkan kerjasama untuk meneroka peluang pertanian pintar dan potensi penggunaan teknologi baharu menggunakan teknologi 'internet of things' (IoT).

 

Melalui memorandum persefahaman (MoU) itu, UPM dan MSD Innovation mengfokuskan kepada pengunaan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian (4IR), IoT, pengkomputeran awan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meneroka pertanian pintar bagi menghasilkan sayuran segar di ladang 15 UPM secara tertutup.

 

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, pihaknya mempunyai kepakaran dalam usaha meningkatkan pengoperasian penanaman secara sistem fertigasi berasaskan sistem IoT.

 

Katanya, ia satu langkah sangat tepat yang mana UPM mempunyai pakar bidang pertanian yang boleh membantu merealisasikan hasrat pihak syarikat untuk menggunapakai teknologi IoT dalam sistem fertigasi untuk tanaman sayuran dan buah-buahan.

 

"Sistem IoT dapat memberi manfaat kepada petani kerana ia membenarkan mereka mengumpul, memantau dan menganalisis data dari ladang mereka dengan efisien. 

 

"Dengan data ini, petani dapat mengoptimumkan hasil tanaman mereka, mengurangkan sisa, memulihara sumber dan memastikan kesihatan dan kesejahteraan ternakan mereka. 

 

"Selain itu, sistem IoT juga boleh membantu petani mengurus sistem pengairan, menjejaki pergerakan produk dan mengoptimumkan rantaian bekalan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

upm
Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman (dua, kanan) ketika majlis memeterai MoU antara UPM dan MSD Innovation

 

 

Menurut Mohd Roslan, UPM sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi bersama-sama membantu negara merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memperkenalkan teknologi baharu terutamanya teknologi pintar seperti dijalankan pihak MSD Innovation dan Fakulti Pertanian yang mana pokok tomato ceri berjaya ditanam dengan menggunakan sistem fertigasi berasaskan IoT. 

 

Katanya, aplikasi sistem IoT dalam pertanian juga dapat membantu mengurangkan kebergantungan pekerja asing berikutan kebanyakan proses dapat diautomasikan melalui sistem IoT. 

 

 

upm

 

 

upm
Pasukan penyelidikan sistem fertigasi berasaskan teknologi IoT

 

 

"Petani juga boleh meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kemampanan yang boleh membantu mereka untuk kekal berdaya saing dalam pasaran pertanian hari ini.

 

"Dengan ini, jika sistem fertigasi berasaskan sistem IoT dapat dilaksanakan secara besar-besaran di kawasan tersebut ia akan dapat membantu para petani setempat untuk mendapat sumber makanan serta pendapatan yang lumayan," katanya. - DagangNews.com