KUALA LUMPUR 7 Julai – ECM Libra Group Berhad memperkukuhkan kedudukan dalam industri hospitaliti melalui penubuhan usaha sama (JV) strategik 50:50 dengan TP Real Estate Holdings Pte Ltd (TPRE).
Langkah dengan syarikat Singapura itu jelasnya, bakal menggabungkan kekuatan jenama Ormond, Momo's dan Tune bagi memperluaskan pertumbuhan serta menjana hasil pengurusan hotel pada masa depan.
Menurut kumpulan tersebut, perjanjian dimeterai pada 6 Julai 2026 itu bagi membentuk JV melibatkan Ormond Group Sdn Bhd (OGSB), yang sebelum ini merupakan salah sebuah anak syarikat milik penuhnya.
"TPRE melanggan 12.5 juta saham baharu OGSB dengan nilai tunai RM100,000, dan apabila diselesaikan, pegangan OGSB akan dimiliki sama rata oleh ECMLG dan TPRE, masing-masing 50%," tambah ECM Libra.
JV membolehkan OGSB memperoleh hak penggunaan jenama Ormond dan Momo's yang dimiliki kumpulan Plato Capital Limited, selain terus menguruskan jenama Tune, serta mengukuhkan portfolio hospitaliti.
Pada masa sama, OGSB memeterai perjanjian dengan ICSD Ventures Sdn Bhd bagi menguruskan Ormond Hotel Sandakan, serta The RuMa Hotel KL Sdn Bhd bagi perkhidmatan The RuMa Hotel and Residences.

Menurut ECM Libra, dua kontrak itu selama dua tahun dengan pilihan lanjutan tempoh dua tahun lagi berdasarkan persetujuan bersama, manakala bayaran pengurusan akan dibuat secara struktur bulanan.
"Kerjasama ini akan meningkatkan keupayaan OGSB memanfaatkan kepakaran pengurusan hotel, jualan, operasi dan latihan, selain kekuatan jenama bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran," katanya.
Tambahnya, perjanjian pengurusan hotel berkenaan dijangka menjana pendapatan fi pengurusan kepada OGSB, sekali gus memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan kumpulan itu pada masa hadapan.
Ujar ECM Libra, selain itu, hasil RM100,000 daripada langganan saham baharu akan digunakan sebagai modal kerja OGSB termasuk bagi aktiviti pemasaran dan promosi tanpa perlu komitmen modal tambahan.
Bagaimanapun, transaksi itu diakui tetap terdedah kepada beberapa risiko perniagaan termasuk perubahan keadaan ekonomi, persekitaran pasaran, kadar faedah, kos operasi dan cabaran industri hospitaliti.
"Pihak pengurusan kumpulan ini namun percaya pengalaman serta kepakaran kedua-dua rakan JV mampu mengurangkan risiko, dengan transaksi itu dijangka selesaikan dalam tempoh sebulan," jelasnya lagi.
Perjanjian itu juga tidak memberi kesan material kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, struktur modal atau tahap penggearan ECM Libra bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Lembaga Pengarah turut berpandangan urus niaga berkenaan adalah adil, munasabah, dibuat berdasarkan terma komersial biasa dan tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti. - DagangNews.com








