KUALA LUMPUR 27 Feb - Keuntungan bersih Solarvest Holdings Bhd melonjak 159% pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (3QFY23) kepada RM5.2 juta berbanding RM2.01 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan itu juga meningkat 114% pada (3QFY23) kepada RM101.5 juta daripada RM47.4 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut kumpulan tersebut, peningkatan itu terutamanya didorong menerusi segmen penyelesaian tenaga solar di bawah perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sebanyak 121.8% atau RM100.1 juta, meliputi 98.6% daripada jumlah pendapatan 3QFY23.
“Ini terutamanya disebabkan peningkatan dalam pengiktirafan kemajuan pembinaan projek solar berskala besar (LSS4).
"Baki RM1.4 juta pula diperoleh daripada operasi dan penyelenggaraan (O&M) sistem tenaga solar, penjualan elektrik menggunakan tenaga solar dan aktiviti lain,” jelas kumpulan itu dalam kenyataan hari ini.
Kumpulan itu juga mencatatkan lonjakan keuntungan bersih bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (9MFY23) sebanyak 355% kepada RM14.5 juta berbanding RM3.19 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan 151% kepada RM252.3 juta berbanding RM100 juta.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong menjangkakan peningkatan keuntungan bersih sekitar RM7 juta selepas dua daripada tiga projek LSS4 dijadualkan mula beroperasi menjelang Mei 2023.
Menurutnya, surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini akan menjadi pemangkin positif bagi industri solar, di mana kadar penggunaan solar daripada sektor pengguna komersial dan industri dijangka meningkat.
Berikutan pengeluaran kuota 600MW aset fotovoltaik (PV) solar di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), beliau berkata, kumpulan itu juga berhasrat untuk menambah nilai kontrak belum dibilkan yang pada ketika ini adalah sebanyak RM595 juta.
Nilai kontrak itu dijangka dirangsang oleh proses kerja yang kukuh dengan buku tender loji janakuasa berskala besar dan projek luar negara kira-kira 2.5 gigawatt (GW).
“Untuk masa akan datang, kami memberi fokus untuk menerokai segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dan inovasi teknologi hijau yang lain.
"Selain itu, kami akan terus meneroka peluang untuk berkembang di Filipina, Taiwan, Vietnam dan Indonesia dalam pembangunan dan pemilikan aset boleh diperbaharui,” tambahnya. -DagangNews.com








