Unit Yinson peroleh pegangan majoriti dalam Inecosolar, buka peluang berkembang di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Unit Yinson peroleh pegangan majoriti dalam Inecosolar, buka peluang berkembang di Indonesia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Sept -  Yinson Holdings Bhd. menerusi cabang boleh diperbaharuinya, Yinson Renewables memperoleh pegangan majoriti dalam syarikat solar turnkey yang diperbadankan Indonesia, PT Ineco Solar Solutions (Inecosolar).

 

Pengambilalihan itu membolehkan Yinson meneroka ruang tenaga boleh diperbaharui (RE) di Indonesia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Renewables, David Brunt berkata, urus niaga itu akan mengukuhkan lagi penyertaan kumpulan di Asia, yang merupakan salah satu rantau tumpuan terasnya.

 

Katanya, Indonesia menyumbang kira-kira satu perempat daripada aktiviti ekonomi Asia Tenggara dan dijangka menjadi ekonomi global yang utama. 

 

"Dengan pasaran RE yang baru muncul, Indonesia bersedia untuk menjadi hab utama peralihan tenaga," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

yinson
Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Yinson Renewables, Marius Kleiven (paling kanan) dan Pengasas dan Pengarah Inecosolar, Benoît Prim (tiga dari kiri) bersama tenaga kerja Inecosolar di hadapan pejabatnya di Bali, Indonesia.

 

 

Inecosolar merupakan pembekal sistem solar yang mantap di Indonesia dengan memenuhi perkhidmatan sistem solar atas bumbung kediaman dan komersial merangkumi banyak projek di seluruh Bali, Gili, Jawa Timur dan Nusa Tenggara Barat.

 

Pengambilalihan itu membolehkan Inecosolar menyediakan penyelesaian sifar modal semua-dalam-satu, mengembangkan portfolio projeknya dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar kuasa bebas (IPP) di Indonesia dan seterusnya.

 

Susunan modal sifar membolehkan perniagaan memasang sistem PV atas bumbung tanpa kos pendahuluan dan mendapat manfaat daripada pengurangan tarif elektrik sepanjang tempoh 15 hingga 20 tahun. 

 

Inecosolar menyasarkan untuk merintis pasaran solar atas bumbung di Indonesia dengan penyelesaian yang inovatif dan berdaya saing.

 

Sementara itu, pengasas dan pengarah Inecosolar, Benoît Prim berkata, pihaknya berbesar hati menerima penyertaan Yinson dan akan meneruskan matlamat bersama ke arah peralihan tenaga di Indonesia. - DagangNews.com