UEM Edgenta mengukuhkan kehadiran di Arab Saudi, beli 60% pegangan syarikat MEEM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Edgenta mengukuhkan kehadiran di Arab Saudi, beli 60% pegangan syarikat MEEM

Syahrunizam Samsudin
oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 23  Mac - UEM Edgenta Bhd mengukuhkan kehadiran di Arab Saudi apabila anak syarikatnya,  Edgenta Arabia Limited (EAL) menyempurnakan transaksi bersama Mohammed I. Alsubeaei & Sons Investment Company (MASIC) bagi pelaburan 60 peratus pegangan ekuiti dan peruntukan modal pertumbuhan dalam Syarikat Pengurusan Fasiliti MEEM (MEEM).

 

UEM Edgenta, syarikat Pengurusn Aset dan Penyelesaian Infrastruktur terkemuka itu dalam satu kenyataan berkata, urus niaga tersebut disempurnakan setelah mendapat kelulusan kawal selia tempatan dan memenuhi syarat perjanjian muktamad terdahulu.

 

Menerusi pemerolehan strategik itu, syarikat dapat mengukuhkan lagi kehadiran di Arab Saudi di mana MEEM menjadi antara usaha sama dan peluang perkongsian pertama antara UEM Edgenta dan MASIC.

 

“Kedua-dua entiti akan memberi fokus terhadap Pengurusan Kemudahan Fasiliti Bersepadu Pintar serta Projek Penjagaan Kesihatan di mana kelayakan UEM Edgenta yang kukuh dalam bidang ini boleh dilaksanakan serta-merta di pasaran Arab Saudi,” kata kenyataan itu.

 

MEEM yang ditubuhkan pada tahun 2017 merupakan syarikat pengurusan kemudahan tempatan (FM) yang diasaskan oleh MASIC, sebuah syarikat pelaburan terkemuka di Arab Saudi dengan pelaburan yang merangkumi perkhidmatan kewangan, hartanah, ekuiti awam serta swasta. 

 

MASIC baru-baru ini disenaraikan sebagai salah satu daripada "100 Perniagaan Keluarga Arab Teratas 2023" oleh Forbes Middle East. 

 

Kemampuan FM MEEM termasuk menyediakan perkhidmatan FM berat dan ringan, perkhidmatan khusus dan sokongan bagi hartanah komersial, perindustrian, pendidikan dan kediaman di Arab Saudi dengan tenaga kerja melebihi 150 orang.

 

MEEM menyediakan platform pengurusan kemudahan fasiliti yang sedia beroperasi dan kontrak sedia ada untuk mempercepatkan operasi UEM Edgenta dalam pasaran Arab Saudi. 

 

Berpandukan Wawasan 2030 Arab Saudi, pasaran pengurusan fasiliti di negara itu dijangka berkembang sebanyak CAGR 6.2% kepada USD35 bilion menjelang 2028, menyumbang c.50% daripada perbelanjaan di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC). 

 

Projek mega seperti NEOM, Laut Merah, AMAALA dan Qiddiya akan menjadi pemangkin kepada UEM Edgenta dan MASIC untuk bersama-sama membangunkan perkhidmatan IFM bertaraf dunia di Arab Saudi sebelum berkembang lebih jauh ke rantau GCC.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, pelbagai inisiatif menarik dalam Arab Saudi telah menetapkan pasaran pelaburan di kawasan itu di samping rancangan pembangunan utama negara di dalam sektor infrastruktur, teknologi dan penjagaan kesihatan, kawasan di mana UEM Edgenta mempunyai kehadiran pasaran yang kukuh di Asia.

 

"MEEM menyediakan platform untuk kami memperluaskan pasaran dan berkembang di Arab Saudi, ditambah pula dengan kedudukan terunggul UEM Edgenta dalam penyelesaian pengurusan kemudahan yang didayakan teknologi dan didorong kelestarian, kami yakin ini asas kejayaan untuk Edgenta membuka peluang bagi memperoleh pasaran baharu," katanya. - DagangNews.com