KUALA LUMPUR 19 April - UDA Holdings Berhad (UDA) telah menyumbang zakat berjumlah RM30,000 kepada tiga institusi menerusi program tanggungjawab sosial korporat UDA Cares di sini, semalam.
Sumbangan tersebut disalurkan kepada Pusat Jagaan Anak Yatim/Saudara Baru An-Najjah, Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Kuala Lumpur dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Wassunah.
Seramai 50 anak asnaf dan anak yatim daripada Pusat Jagaan Anak Yatim/Saudara Baru An-Najjah dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Kuala Lumpur turut diraikan pada majlis Majlis Berbuka Puasa UDA Mall Bersama Asnaf @ Malaysia Grand Bazaar itu.
UDA juga memberi RM250 setiap seorang kepada kanak-kanak tersebut berupa pakaian dan kelengkapan Hari Raya serta wang tunai.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany menyatakan komiten organisasi itu untuk menyokong Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya komuniti di wilayah pembangunan serta perniagaan UDA.
“Semoga sumbangan ini mampu mengukir senyuman serta memberi keceriaan buat mereka dalam meraikan Syawal yang bakal tiba.
Kami juga berharap usaha murni UDA menyantuni insan memerlukan lebih-lebih lagi di bulan mulia ini dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat yang bertepatan dengan konsep Malaysia Madani,” katanya.
Beliau turut berkata ini juga bertujuan memberi hebahan kepada orang ramai mengenai Malaysia Grand Bazaar (MGB) yang merupakan sebuah kompleks beli-belah artisanal yang pertama di Kuala Lumpur di bawah seliaan UDA.
Tambahnya, MGB ini juga dijadikan sebagai salah satu platform buat para usahawan yang baru mengorak langkah mereka dalam bidang keusahawanan mahupun perniagaan.
Sepanjang Ramadan 2023, UDA telah mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM205,600 kepada 15 buah pusat pertubuhan dan rumah kebajikan dalam lapan majlis berbuka puasa anjurannya di beberapa wilayah perniagaan organisasi itu seperti di sentral, utara, selatan dan pantai timur.
UDA berkata ia akan terus mengukuhkan fungsi dan peranan dalam setiap segmen perniagaannya, terutamanya dalam membentuk komuniti inklusif seiring dengan penjenamaan UDA: LIFE yang menekankan kepada ciri-ciri legasi, integrasi, ketelitian dan memperkasa, dan seterusnya bergerak ke arah kelestarian atau ‘sustainability. -DagangNews.com








