Touch ‘n Go rangkul dua kategori di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2023 | DagangNews Skip to main content

Touch ‘n Go rangkul dua kategori di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei - Touch 'n Go Sdn Bhd telah merangkul dua pengiktirafan di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2023.

 

Syarikat itu diiktiraf bagi penyelesaian pembayaran bahan api menggunakan RFID dalam kategori Fintech - Teknologi Kewangan, manakala anugerah kedua adalah untuk perkembangan terbaharu dalam keupayaan tambah nilai Komunikasi Medan Dekat (NFC) di bawah kategori E-Dompet - Teknologi Kewangan.

 

Touch ‘n Go RFID telah dibangunkan dan dilancarkan pada 2018 dengan objektif untuk menyediakan cara yang lebih lancar dan mudah untuk membuat pembayaran tol.

 

Syarikat itu berkata ia telah menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam penerimaan dan penggunaan sejak pelancarannya dengan lebih daripada 2.2 juta pengguna RFID aktif pada masa ini dan semakin berkembang pesat.

 

Untuk melengkapkan ekosistem mobilitinya, Touch ‘n Go telah meneroka cara baharu untuk meningkatkan penggunaan pembayaran RFID, dan gabungan infrastruktur RFID dan eWallet membolehkan syarikat itu berkembang dengan pantas ke arah pembayaran bahan api, tambahnya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Praba Sangarajoo berkata pertemuan dengan Shell Malaysia menjadi titik permulaan untuk menyediakan pengguna pengalaman pemanduan tanpa tunai dan tanpa sentuhan, yang telah membawa kepada pembayaran bahan api menggunakan RFID bermula Ogos 2022 di stesen Shell terpilih.

 

 

Praba Sangarajoo
Praba Sangarajoo

 

 

“Selama bertahun-tahun, kami telah berusaha untuk membawa tahap keselesaan dan keselamatan tanpa tunai yang lebih lancar dengan memanfaatkan teknologi inovatif buatan sendiri untuk menyampaikan cadangan nilai yang unik kepada pengguna kami.

 

“Kami benar-benar berbesar hati menerima kedua-dua anugerah ini kerana membuktikan kerja keras dan usaha kolaboratif pasukan berdedikasi Touch 'n Go dan berbangga mempunyai rakyat Malaysia yang berbakat membina sistem ini,” ulas beliau mengenai kemenangan anugerah itu.

 

Praba menambah bahawa pengiktirafan tersebut mendorong syarikat untuk meneruskan usaha membangunkan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang unik dan berbeza di samping menambah nilai dan memberikan kemudahan dalam kehidupan seharian pengguna.

 

Touch ‘n Go telah diiktiraf di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut, di mana mereka telah menerima anugerah untuk Fintech - Pembayaran, dan Fintech - Perkhidmatan Kewangan pada tahun 2022. -DagangNews.com