KUALA LUMPUR 23 Mac - Syarikat berprestasi tinggi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menduduki tangga teratas papan pendahulu syarikat-syarikat FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) dengan skor ketelusan tertinggi sebanyak 72 mata berdasarkan Global ESG Monitor (GEM).
Selain itu, Press Metal Aluminium Holdings Bhd juga terikat di tempat pertama bersama TNB dengan 72 mata.
GEM merupakan satu inisiatif penyelidikan yang mengkaji ketelusan pelaporan bukan kewangan syarikat-syarikat terbesar di dunia tentang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mendapati bahawa syarikat-syarikat Malaysia telah menggunakan rangka kerja, standard dan alat strategik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi laporan ESG mereka.
Namun mereka kekurangan maklumat yang sesuai dan tahap perincian yang diperlukan untuk ketelusan yang optimum. Hal ini membuatkan syarikat-syarikat Malaysia berada pada kedudukan pertengahan berbanding syarikat-syarikat setara di peringkat global dan serantau.
Pengasas Bersama GEM, Michael Diegelmann berkata, Laporan Serantau Malaysia GEM 2022 menandakan Malaysia dimasukkan buat pertama kalinya dalam laporan penanda aras, dengan menilai 30 buah syarikat yang tersenarai di FBMKLCI.
“Penyertaan FBMKLCI Malaysia dalam GEM 2022 mencerminkan komitmen negara untuk amalan perniagaan yang telus dan mampan. Dengan skor purata sebanyak 54 daripada 100 mata, indeks Malaysia berada pada kedudukan kelima bersama dengan Dow Jones dalam 10 indeks yang ditinjau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Penyelidikan GEM, Ariane Hofstetter, walaupun syarikat-syarikat Malaysia cemerlang dalam mematuhi rangka kerja antarabangsa, mereka perlu memberikan maklumat lebih menyeluruh tentang aspek ESG untuk benar-benar menerap kemampanan.

Pengarah Urusan Perspective Strategies, Andy See pula berkata, ketelusan laporan ESG adalah penting untuk memaklumkan dan melibatkan pihak berkepentingan.
Lagipun katanya, pelaporan kemampanan telah diwajibkan untuk semua syarikat senarai awam Malaysia sejak tahun 2016.
"Walaupun masih terdapat banyak halangan untuk diatasi syarikat Malaysia dalam hal-hal melibatkan ketelusan, namun secara keseluruhannya, ini adalah berita baik untuk para pelabur dan pihak berkepentingan lain kerana kami sedang menuju ke arah yang betul," katanya. - DagangNews.com








