KUALA LUMPUR 2 Nov - TM mengamalkan tahap integriti dan etika tertinggi yang menjadi panduan tingkah laku dan tindakan standard para anggotanya dengan memperjuangkan integriti yang tinggi dan amalan anti rasuah dalam persekitaran kerjanya.
Ia mencerminkan komitmen TM dalam mematuhi tadbir urus korporat yang baik dan memenuhi tanggungjawabnya terhadap pelabur dan pihak berkepentingan lain. Ini dilakukan melalui usaha kesedaran, penghayatan dan penguatkuasaan yang rapi berpandukan dasar etika dan integritinya.
Untuk menunjukkan komitmen dan usaha berterusannya dalam mengekalkan integriti, tadbir urus dan ketelusan yang tinggi dalam operasi perniagaannya, Telekom Malaysia Berhad (TM), telah menganjurkan Hari Integriti TM 2022 (TM Integrity Day - TMID) tahunannya pada 1 November 2022, bersempena dengan Hari Integriti Nasional yang disambut setiap November.
Aktiviti yang dijalankan semasa TMID termasuk penyerahan pensijilan MS ISO 37001:2016 oleh SIRIM, lafaz ikrar bebas rasuah diikuti dengan forum bertajuk, "Integriti Tanpa Kompromi".
TMID 2022 telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, disaksikan Pengerusi Kumpulan TM, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar.
Turut hadir Pengerusi SIRIM QAS International Sdn Bhd, Datuk Dr Khairol Anuar Tawi, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia, Datuk Allaudeen Abdul Majid hadir sebagai ahli panel untuk forum yang dikendalikan oleh Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan.
Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi (OACP) TM 2021–2025 yang dilancarkan tahun lepas, dibangunkan untuk sejajar rapat dengan Pelan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang menjurus ke arah meningkatkan ketelusan, dan menerapkan prinsip integriti, tadbir urus yang baik, pematuhan, dan akauntabiliti bagi memastikan tadbir urus dalam sektor awam dan korporat di Malaysia.


OACP TM adalah salah satu dasar yang dibangunkan seiring dengan Seksyen 17A Akta SPRM 2009, mengikut piawaian yang ditetapkan oleh IIM.
Mohammed Azlan berkata, di TM, "Integriti Tanpa Kompromi" adalah salah satu nilai korporat yang mesti dihayati oleh setiap anggota TM untuk memenuhi tanggungjawab kami kepada semua pihak berkepentingan.
"Kami memandang serius sebarang salah laku yang melibatkan integriti dalam organisasi ini. Saya berharap semua anggota dan rakan-rakan niaga TM akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab yang terbaik kepada syarikat dalam usaha TM memacu aspirasi Digital Malaysia.


“OACP kami ialah rancangan 5 tahun untuk mengukuhkan lagi ekosistem etika dan integriti sedia ada dalam kalangan Warga TM, rakan niaga, vendor dan pembekal. OACP ini mentakrifkan dengan jelas bidang tumpuan dan inisiatif strategik untuk mengurangkan risiko rasuah, integriti dan tadbir urus.
"Ia menjadi kewajipan setiap anggota TM dan rakan perniagaan untuk bertindak demi kepentingan terbaik TM dan mengekalkan tahap integriti, ketelusan dan akauntabiliti tertinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com








