Zetrix AI, penganjur Miss Universe jalin kerjasama lancar aplikasi undian berasaskan blockchain | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zetrix AI, penganjur Miss Universe jalin kerjasama lancar aplikasi undian berasaskan blockchain

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 SeptZetrix AI Berhad menjalin kerjasama strategik dengan Miss Universe Organization (MUO) melancarkan aplikasi undian global pertama menggunakan teknologi blockchain.


Kumpulan itu yang dikenali sebagai MyEG Services Berhad sebelum 3 Julai 2025 berkata, ia dimeterai
bersempena pertandingan ratu cantik antarabangsa itu di Thailand menjelang 21 November 2025.


Tambahnya, menerusi aplikasi berkenaan, peminat dari seluruh dunia dapat mengundi terus peserta kegemaran mereka secara telus dan selamat menjelang edisi ke-74 acara Miss Universe tersebut.


"Menariknya, aplikasi terbaharu ini turut menampilkan elemen kecerdasan buatan (AI) menerusi ‘AI companion’ yang menyerupai peserta Miss Universe sendiri," kata Zetrix AI dalam satu kenyataan.


Situasi tersebut jelasnya, membolehkan pengguna berinteraksi secara maya dengan peserta yang terdiri daripada lebih 130 negara, sambil memahami latar belakang budaya dan aspirasi mereka.


Menurut Pengasas Bersama Zetrix AI, Datuk Fadzli Shah, aplikasi itu sebelum ini sudah melalui fasa percubaan dalam beberapa pertandingan Miss Universe peringkat negara tertentu termasuk Malaysia.


Langkah pengujian awal tersebut jelasnya, turut dilaksanakan dalam pertandingan sama di Indonesia, Singapura dan Hong Kong, sebelum dikembangkan dengan lebih luas lagi ke peringkat antarabangsa.


“Kerjasama ini memastikan peminat di seluruh dunia boleh menikmati pengalaman mengundi yang telus dan lebih interaktif buat pertama kali dalam sejarah 73 tahun penganjuran Miss Universe,” katanya.


Sementara itu, Presiden MUO, Raúl Rocha Cantú pula berkata, penggunaan teknologi blockchain dalam sistem undian mampu menggalakkan ketelusan dan keterangkuman peminat dari pelbagai latar belakang.


Aplikasi rasmi Miss Universe dengan kerjasama Zetrix AI itu dijangka boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store dalam masa terdekat sebelum pertandingan akhir berlangsung.


“Sama ada anda berada di Mexico City, Manila, Lagos atau Jakarta, suara hati anda memilih peserta terbaik kami kini mempunyai nilai dengan ketelusan dan kepercayaan yang sepenuhnya,” tambah beliau.


Miss Universe edisi pertama diadakan pada 28 Jun 1952 di California, Amerika Syarikat yang melibatkan hanya 30 peserta pelbagai negara dengan juara pertama Armi Kuusela dari Finland. - DagangNews.com