Zelan cadang pindah dua hartanah kepada MMC Engineering bagi penyelesaian hutang RM5.22 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zelan cadang pindah dua hartanah kepada MMC Engineering bagi penyelesaian hutang RM5.22 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Mei - Zelan Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Zelan Holdings (M) Sdn Bhd (ZHSB), bercadang menyelesaikan hutang berjumlah RM5.22 juta kepada MMC Engineering Sdn Bhd (MMCE) melalui pemindahan dua hartanah pejabat di Bandar Tun Razak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, MMCE merupakan anak syarikat milik penuh MMC Engineering Group Berhad yang seterusnya dimiliki sepenuhnya oleh MMC Corporation Berhad.

 

Menurut Zelan, cadangan penyelesaian hutang itu melibatkan dua unit hartanah pejabat yang dibina di atas tanah pegangan pajakan dengan tempoh tamat pada 23 Julai 2090.

 

Kedua-dua hartanah tersebut masing-masing mempunyai keluasan kira-kira 1,061 meter persegi dan akan dipindahkan kepada MMCE pada nilai pelupusan RM5 juta.

 

“Pada 7 Mei 2026, ZHSB telah memeterai perjanjian penyelesaian hutang dengan MMCE bagi menyelesaikan hutang tertunggak berjumlah RM5.22 juta melalui pemindahan hartanah berkenaan,” katanya hari ini.

 

Menurut syarikat itu, kedua-dua pihak turut menandatangani perjanjian jual beli bersyarat bagi pelupusan hartanah tersebut, dan nilai pelupusan akan dianggap selesai melalui kaedah tolakan terhadap baki hutang tertunggak selepas pemindahan hak milik disempurnakan.

 

Zelan berkata, hutang tersebut berpunca daripada perkhidmatan kejuruteraan dan kerja berkaitan yang disediakan MMCE kepada Zelan Construction Sdn Bhd (ZCSB) melibatkan kerja cerucuk dan kejuruteraan awam.

 

Pada September 2025, liabiliti hutang itu telah dipindahkan daripada ZCSB kepada ZHSB menerusi perjanjian novasi hutang.

 

Syarikat itu berkata, cadangan penyelesaian hutang tersebut akan menjadi sebahagian daripada pelan regularisasi kumpulan susulan status PN17 yang dihadapi sejak April 2023.

 

Menurutnya, kumpulan masih dalam proses memuktamadkan pelan regularisasi yang komprehensif bagi menyelesaikan isu kewangan dan lain-lain yang menyebabkan syarikat mencetuskan kriteria PN17.

 

Bursa Malaysia Securities sebelum ini telah memberikan lanjutan masa tambahan sehingga 30 April 2026 kepada Zelan untuk mengemukakan pelan regularisasi kepada pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com