Zecon bina loji solar 100MW di Kuching, bekal tenaga bersih selama 30 tahun kepada Sesco | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zecon bina loji solar 100MW di Kuching, bekal tenaga bersih selama 30 tahun kepada Sesco

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - Zecon Berhad menerusi Zecon Renewables (Sarawak) Sdn Bhd akan membina dan mengendalikan loji solar berkapasiti 100MW di Taman Teknologi Hijau Kota Petra, Kuching, di bawah perjanjian bekalan tenaga selama 30 tahun bersama Syarikat Sesco Berhad.

 

Zecon Renewables (Sarawak) memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Sesco bagi penjanaan dan penyaluran tenaga solar daripada loji berkenaan, yang dijangka memulakan operasi komersial pada Disember 2027.

 

"Menerusi perjanjian itu, kumpulan tersebut bertanggungjawab untuk menjual dan membekalkan tenaga bersih yang dijana oleh loji tersebut kepada Sesco selama 30 tahun, bermula dari tarikh operasi komersial yang dicadangkan manakala Sesco bertanggugjawab untuk membeli tenaga yang dijana mengikut terma dan syarat yang dipersetujui," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Syarikat itu bagaimanapun tidak mendedahkan nilai perjanjian tersebut.

 

Ia merupakan perjanjian tenaga solar keempat berkapasiti 100MW yang ditandatangani Sesco bulan ini, selepas perjanjian serupa di Bintulu, Mukah, dan Tanjung Manis.

 

Untuk projek di Mukah, Solarvest Holdings Berhad dan Press Metal Aluminium Holdings Berhad akan bekerjasama membangunkan loji berkenaan, yang dianggarkan bernilai RM380 juta.

 

Sementara itu, Leader Energy Group Berhad akan membina loji di Tanjung Manis, manakala Malakoff Corp Berhad akan membangunkan loji di Bintulu.- DagangNews.com