KUALA LUMPUR 20 Feb – Datuk Zabidah Safar melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam, sekali gus peneraju ke-13 bandar raya ibu negeri Selangor itu.
Beliau yang mengangkat sumpah jawatan di Wisma MBSA menegaskan pendekatan kepimpinan berteraskan tindakan pantas dan keputusan yang tegas demi memastikan kelancaran pentadbiran bandar raya.
Menurutnya, corak gaya kepimpinan tersebut diinspirasikan beliau sendiri daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Rebecca Fatima Sta Maria.
“Saya suka gaya kepimpinan beliau cenderung membuat keputusan dengan cepat. Ini juga pendekatan saya,” katanya sambil menyifatkan individu itu sebagai tokoh perkhidmatan awam yang berpengaruh.

Anak kelahiran Rompin, Pahang itu berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak Januari 1995 dengan memiliki pengalaman luas termasuk aspek pengurusan kewangan, dan pembangunan industri.
Zabidah yang sebelum itu berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang sejak 2022, turut berkemahiran dalam perancangan strategik, ekonomi, hubungan antarabangsa serta organisasi.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang banyak jawatan kanan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat serta Perbendaharaan Selangor.
Pada 2011, beliau kembali semula ke MITI sebagai Pengarah Bahagian Kewangan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Sokongan Perdagangan dan Industri sejak 2017.

Sebagai Datuk Bandar, Zabidah berikrar memberi tumpuan kepada tanggungjawab teras Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), khususnya aspek kebersihan dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti.
Beliau turut menekankan kepentingan kesinambungan inisiatif dilaksanakan datuk bandar terdahulu, selain memastikan peruntukan MBSA dibelanjakan secara berhemah terutama dari sudut penyelenggaraan.
Ibu kepada empat anak dan nenek kepada dua cucu itu berkata, beliau akan menilai isu-isu lain berdasarkan data sedia ada serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan. - DagangNews.com








