KUALA LUMPUR 21 Okt – Pelaksanaan yuran tetap tahunan dan levi derivatif baharu kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dijangka memberi impak kewangan langsung kepada Bursa Malaysia Berhad.
Kesan berkenaan menurut CGS International (CGSI) akan dirasai ketara bermula tahun kewangan 2026 (FY26), tetapi firma penyelidikan tersebut menjangka tekanan kos ini masih boleh dapat dikawal.
Tambahnya, sebahagian besar daripada impak berkenaan dapat diimbangi menerusi semakan struktur yuran penyenaraian dan pelaksanaan langkah pengawalseliaan yang sudah diluluskan baru-baru ini.
"Bagaimanapun kos keseluruhan yang perlu ditanggung Bursa Malaysia akan mencecah RM45 juta setahun menjelang 2028, dan menimbulkan persoalan margin keuntungan untuk jangka sederhana," katanya.
CGSI dalam notanya itu namun percaya struktur semakan yuran yang dilaksanakan mulai 1 Januari 2026 berpotensi untuk menjana semula pendapatan tambahan antara RM28 juta hingga RM34 juta setahun.
Perkembangan isu bayaran kepada SC itu kata firma penyelidikan berkenaan, turut menjadikan impak kedudukan kewangan ke atas keuntungan bersih Bursa Malaysia adalah relatif minimum pada FY26.
Katanya, menurut makluman pada 17 Oktober 2025, SC menerima kelulusan prinsip daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi mengenakan dua komponen pembayaran baharu terhadap Bursa Malaysia.
"Ia melibatkan yuran pengawalseliaan tetap tahunan sebanyak RM28 juta, dan levi derivatif 37.5% daripada hasil derivatif tahunan yang bermula FY26 tertakluk kepada siling maksimum," kata CGSI.
Serentak dengan itu, SC turut memberikan lampu hijau terhadap cadangan Bursa Malaysia menyemak semula struktur yuran penyenaraian dan pengawalseliaan yang dijangka berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Bursa Malaysia dalam reaksinya mengunjurkan semakan ini menjana pendapatan tambahan sebanyak RM28 juta hingga RM34 juta setahun, bergantung kepada aktiviti penyenaraian dan transaksi di pasaran.
Justeru, CGSI menilai anggaran pendapatan tambahan ini hampir setara dengan siling bayaran kepada SC pada tahun pertama pelaksanaan, dan berpotensi meningkat pada tahun-tahun yang berikutnya pula.
"Unjuran ini selari jangkaan peningkatan aktiviti dagangan dalam pasaran ekuiti dan derivatif, meskipun struktur kos baharu ini akan memberi kesan kepada struktur perbelanjaan bursa," katanya.
Berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) untuk FY25 hingga FY27, dan menaikkan harga sasaran saham Bursa Malaysia kepada RM9.39, berbanding RM9.18 sebelum ini.
Penilaian tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, dibuat berdasarkan kepada model diskaun dividen (DDM) dengan andaian kos ekuiti sebanyak 9.3% dan kadar pertumbuhan terminal kira-kira 4%.
CGSI menyokong pandangan positif prospek Bursa Malaysia berpandukan tiga pemacu utama, antaranya isu pemulihan nilai dagangan harian purata (ADV) dalam pasaran ekuiti pada separuh kedua 2025.
"Di samping itu, kami yakin dengan pertumbuhan berterusan dalam hasil derivatif, dan peningkatan pulangan ke atas ekuiti (ROE) daripada sebanyak 29.9% pada FY25 kepada 31.9% pada FY27," katanya.
Bagaimanapun jelas firma berkenaan, antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk kejatuhan secara berterusan dalam ADV pasaran ekuiti, dan kenaikan kos operasi melebihi jangkaan awal.
Ia turut berwaspada terhadap isu ketidaksepadanan antara pendapatan tambahan yuran dan bayaran kepada SC, terutamanya jika hasil derivatif tidak berkembang seperti diunjurkan Bursa Malaysia.
Secara keseluruhan, CGSI namun berpandangan langkah semakan yuran merupakan tindakan proaktif yang mengekalkan daya saing model perniagaan dalam persekitaran sentiasa berubah. - DagangNews.com








