KUALA LUMPUR 12 Ogos — YTL Power International Berhad melancarkan ILMU, model bahasa besar (LLM) buatan sendiri pertama negara, dalam usaha memajukan keupayaan kecerdasan buatan (AI) Malaysia.
Ia dibangunkan anak syarikatnya, YTL AI Labs Sdn Bhd, dengan perkataan ILMU itu singkatan bermaksud Intelek Luhur Malaysia Untukmu, yang dilatih menggunakan bahasa, data dan konteks budaya Malaysia.
Menurut YTL Power, model berkenaan turut mampu memahami dan bertindak balas dalam bahasa Melayu, campuran bahasa Inggeris tempatan, Manglish dan dialek seperti Kelantan, merentas teks dan suara.
"ILMU diiktiraf sebagai LLM teratas Bahasa Melayu pada penanda aras pemahaman bahasa berbilang tugas besar-besaran (MMLU) dan berprestasi setanding," kata kumpulan berkenaan dalam kenyataan.
Selain itu, ILMU tambahnya, dikenal pasti sebagai lebih baik daripada model global terkemuka dalam ujian prestasi, tetapi kos sebenar untuk membangunkan model tersebut tidak didedahkan kepada umum.
YTL Power pada Disember 2024 namun pernah berkata, pelaburannya dalam ruang AI, termasuk pusat data hijau 500MW di Johor, superkomputer AI berkuasa Nvidia, serta ILMU, diunjur melebihi RM20 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan model tersebut sebagai satu langkah penting ke arah membina 'negara AI' yang memberi perkhidmatan kepada semua rakyat Malaysia.
“Misi kami bukan menjadikan AI sebagai alat untuk segelintir orang, tetapi kekuatan kepada semua, memperkasakan tadbir urus lebih baik, mencetuskan inovasi dan menambah baik kehidupan,” katanya.
Beliau ketika pelancaran Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 bagaimanapun, memberi amaran bahawa jika AI hanya digunakan oleh segelintir orang, ia akan mewujudkan situasi jurang yang lebih nyata.
Katanya, ia juga dibimbangi meninggalkan sebahagian besar populasi di belakang, manakala golongan elit dan teknokrat mesti memahami perkara ini serta mula menanganinya sebagai bentuk keutamaan.
Anwar turut menekankan bahawa penggunaan AI mesti menghormati kepercayaan dan nilai moral Malaysia sambil menerima disiplin baharu serta dijadikan sebagai peluang generasi 700 juta rakyat ASEAN.
Ia berpotensi merapatkan jurang pembangunan, memperkasakan perniagaan kecil, memartabatkan kawasan luar bandar dan mengukuhkan perkhidmatan awam seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan keadilan.
"Saya berbangga mengatakan kami berada di hadapan dengan keyakinan dari segi pendigitalan dan AI, mahu berkongsi perkara ini serta bekerjasama dengan jiran kami di Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com








