KUALA LUMPUR 25 Mac - YTL Communications Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan Equinix Inc dan Transcelestial bagi menawarkan rumusan teknologi terkini kepada perniagaan melalui peningkatan kapasiti ketersambungan dan kebolehan kecerdasan buatan (AI) secara lebih lestari.
Operator rangkaian talian mudah alih itu berkata, ia membolehkan pelanggan antarabangsa dapat mengakses YTL AI Cloud melalui rangkaian global Equinix dan sistem awan tersebut menyokong permintaan semakin meningkat untuk pengkomputeran di peringkat serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee berkata, kerjasama strategik itu akan mempercepatkan penerimaan AI dan transformasi digital negara dengan melengkapkan perniagaan kepada liputan ketersambungan yang bertaraf dunia serta kelestarian infrastruktur.
"Sebagai perintis dalam 5G dan AI, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kemajuan teknologi di Malaysia melalui gabungan teknologi AI canggih dengan kelestarian, kami memberi kuasa kepada perniagaan untuk berinovasi menggunakan AI," katanya dalam satu kenyataan.
Memorandum persefahaman kerjasama itu ditandatangani beliau dengan Presiden Equinix EMEA, Bruce Owen dan Ketua Jualan Transcelestial, Dinesh Kumaran, serta disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada Mobile World Congress 2025 di Barcelona, Sepanyol.
Turut hadir ialah Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Seri Dr. Chee Hong Leong. Equinix merupakan antara firma infrastruktur digital terkemuka dunia manakala Transcelestial terkenal sebagai perintis dalam teknologi komunikasi laser terkini.

Melalui kerjasama itu, YTL Communications muncul syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang memanfaatkan teknologi komunikasi laser tanpa wayar direka oleh Transcelestial untuk menyediakan rangkaian dengan ketersambungan 'fibre-class' dan tahap fleksibiliti baharu.
"Rumusan canggih ini menghapuskan keperluan untuk kabel fizikal, membolehkan kertersambungan gentian rendah dengan kapasiti tinggi, walaupun di lokasi yang secara tradisional adalah sukar dijangkau atau diselenggara menggunakan teknologi fiber konvensional," kata Wing.
Beliau menambah, infrastruktur yang lestari turut menggalakkan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan dengan jangkauan global dikuasakan oleh Equinix Fabric, manfaat faedah berkembar diperoleh itu akan dapat diperluaskan kepada lebih banyak operator perniagaan tempatan.
Melalui servis rangkaian global terkemuka milik Equinix, peniaga boleh ada akses yang boleh dipercayai dan selamat kepada YTL AI Cloud untuk perkhidmatan unit pemprosesan grafik (GPU) serta membolehkan syarikat mendapatkan akses GPU generasi terkini untuk kerja AI mereka.
Dengan YTL AI Cloud yang disokong 100 peratus tenaga boleh diperbaharui di Taman Pusat Data Hijau 500MW milik YTL, kerjasama ini kata Wing, membolehkan perniagaan menerima AI tanpa impak kelestarian iklim selaras dengan trend global ke arah pembangunan AI bertanggungjawab. - DagangNews.com








