KUALA LUMPUR 24 Feb — YTL Communications Sdn Bhd menjalinkan usaha sama dengan Bullish Aim Group untuk membangunkan infrastruktur gentian generasi akan datang di Johor yang dijadualkan bermula pada suku pertama 2025.
Menurut satu kenyataan, pembangunan rangkaian tersebut bakal menyediakan liputan merentasi perbandaran utama di seluruh Johor, termasuk kawasan yang ketika ini masih kurang mendapat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi termaju.
Kedua-dua syarikat tersebut menyatakan bahawa pembinaan rangkaian gentian optik baharu itu akan meningkatkan keupayaan penghantaran data serta meningkatkan kecekapan operasi untuk penyedia telekomunikasi dan perniagaan di Johor.
Inisiatif ini juga sejajar dengan matlamat transformasi digital negara melalui penyediaan sambungan berkapasiti tinggi yang memanfaatkan sektor industri daripada pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan kepada Internet Benda dan 5G.
Usaha terbaharu itu juga ujarnya, dijangka mampu mengurangkan isu pertindihan infrastruktur, mengurangkan kos penyedia perkhidmatan, serta menyokong pendekatan yang lebih mampan dan menyeluruh kepada pembangunan teknologi.
Kerjasama antara anak syarikat YTL Power International Berhad dengan Bullish Aim itu turut menangani permintaan yang semakin meningkat di Johor sendiri untuk sambungan berkelajuan tinggi dan perkhidmatan data yang boleh dipercayai.
Pengarah Urusan YTL Communications dan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, dengan reputasi Johor menjadi hab utama untuk pusat data, usaha sama ini akan melabur dan membina tulang belakang gentian yang diperlukan.
"Ia bakal membawa kepada ekonomi digital baharu yang tentu membuahkan hasil terbaik, memacu pertumbuhan pesat dan penggunaan perkhidmatan digital serta teknologi termaju di negeri ini.
“Kami berasa teruja dapat bekerjasama dengan Bullish Aim untuk membawa sambungan yang boleh dipercayai, serta berkelajuan tinggi dari Johor ke setiap sudut negara dan seluruh dunia,” katanya.
YTL Communications, yang menawarkan perkhidmatan talian mudah alih dan berasaskan internet di bawah jenama ‘Yes’, telah sekian lama menjadi peneraju terkenal dalam perkhidmatan telekomunikasi 5G di Malaysia.
Bullish Aim pula yang merupakan syarikat diiktiraf kerana kepakarannya dalam infrastruktur telekomunikasi, dijangka menyumbang penyelesaian inovatifnya kepada projek tersebut. - DagangNews.com








