Yong Tai mohon lanjutan masa 14 bulan serah draf pekeliling pelupusan Hotel Marriott Melaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yong Tai mohon lanjutan masa 14 bulan serah draf pekeliling pelupusan Hotel Marriott Melaka

Foto kredit BERNAMA
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 DisYong Tai Berhad memohon lanjutan masa tambahan selama tempoh 14 bulan lagi, sehingga 27 Februari 2027, bagi mengemukakan draf pekeliling berhubung cadangan pelupusan hotel.


Kumpulan pemaju tersebut berkata, tambahan waktu itu dikemukakan kepada Bursa Malaysia semalam bagi usaha penjualan hartanah dikenali Courtyard by Marriott Melaka yang bernilai kira-kira RM160 juta.


Syarikat berkenaan melalui penasihatnya, M & A Securities memaklumkan yang permohonan itu dibuat selepas ia gagal menyerahkan draf pekeliling dalam tempoh lanjutan kedua yang diberi sebelum ini.


"Tarikh akhir sepatutnya 28 Disember 2025, setelah dua lanjutan diluluskan iaitu enam bulan hingga 29 Mac 2025, dan sembilan bulan hingga 28 Disember 2025," maklum Yong Tai kepada Bursa Malaysia.


Cadangan pelupusan hartanah ini melibatkan penjualan hotel bertaraf lima bintang itu oleh anak syarikat milik penuhnya, Apple 99 Development Sdn Bhd, kepada Southern Envoy Sdn Bhd secara tunai.


Yong Tai bagaimanapun berkata, sebarang pengumuman lanjut mengenai perkembangan cadangan pelupusan bangunan tersebut akan dibuat kumpulan itu dari semasa ke semasa. - DagangNews.com