KUALA LUMPUR 13 Nov – YNH Property Berhad meminda beberapa terma dan syarat dalam Perjanjian Jual Beli (SPA) yang bertarikh 12 Mei 2023, untuk penjualan tanah RM170 juta kepada Sunway Living Space.
Kata kumpulan tersebut, anak syarikatnya, Kar Sin Bhd menandatangani Perjanjian Tambahan Keempat (SA4) bagi urus niaga cadangan penjualan tanah pegangan bebas berkenaan yang terletak di Kuala Lumpur.
Tambahnya, langkah tersebut bertujuan meminda beberapa lagi isu yang sebelum ini sudah dipinda melalui tiga SA terdahulu iaitu bertarikh 10 November 2023 (SA1), 10 Mei 2024 (SA2) dan 28 Mei 2025 (SA3).
"Antara pindaan utama SA4 ialah tempoh bersyarat dilanjutkan kepada 12 Jun 2026, dan tempoh peroleh kebenaran merancang dilanjutkan sehingga 12 Jun 2026," maklum YNH Property kepada Bursa Malaysia.
Selain daripada perubahan tersebut jelas syarikat pemaju hartanah berkenaan, semua terma yang lain dimeterai alam SPA terdahulu adalah kekal tidak berubah dan terus berkuat kuasa dengan sepenuhnya.
Ia turut menegaskan bahawa tiada liabiliti baharu, jaminan tambahan atau kesan kewangan material timbul daripada pelaksanaan perjanjian tambahan ini, selain yang diumum dalam kenyataan terdahulu.
Dokumen SA4 itu tersedia untuk pemeriksaan awam selama tiga bulan di pejabat berdaftar YNH Property di Northpoint Mid Valley City, Kuala Lumpur, dibuka pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.
Langkah lanjutan tempoh ini dijangka memberi ruang kepada pihak terlibat untuk menyiapkan keperluan teknikal dan kelulusan pembangunan berkaitan sebelum pelaksanaan penuh urus niaga. - DagangNews.com








