KUALA LUMPUR 17 Sept – YLI Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Yew Lean Foundry & Co Sdn Bhd memeterai perjanjian untuk melupuskan sebuah kilangnya di Perai, Pulau Pinang.
Kumpulan tersebut berkata, bangunan berkenaan dijual kepada sebuah syarikat logam kitar semula tempatan, Hong Kuan Metals Recycle Sdn Bhd dengan nilai tunai keseluruhan RM18 juta.
Perjanjian jual beli itu dimeterai pada 17 September 2025, melibatkan pelupusan Lot 2579, Lorong Perusahaan 10, Kawasan Perindustrian Perai yang berkeluasan 12,226.25 meter persegi.
"Ia dikategorikan tanah industri pegangan pajakan yang digunakan sebagai kemudahan setor dan pejabat, serta dicagarkan kepada Malayan Banking Bhd," maklum YLI kepada Bursa Malaysia.
Menurutnya, harga jualan kilang tersebut adalah melebihi penilaian pasaran yang ditetapkan oleh Raine & Horne International Zaki + Partners Sdn Bhd iaitu RM14 juta pada 28 Mac 2025.
Pertimbangan pelupusan aset kumpulan itu tambahnya, dibuat berdasarkan prinsip kesediaan pembeli dan penjual, serta mengambil kira kepada penilaian semasa oleh jurunilai bebas.
Pembayaran dibuat secara berperingkat dengan 10% deposit atau RM1.8 juta dibayar pembeli manakala baki 90% atau RM16.2 juta akan dibayar sebelum tarikh akhir tempoh penyempurnaan.
"Sekiranya pembayaran lambat daripada jadual, pembeli dikenakan kadar penalti lewat sebanyak 6% setahun dan hasil pelupusan ini akan digunakan untuk pelbagai tujuan syarikat," kata YLI.
Ini termasuk sebagai modal kerja dan pengurangan nisbah hutang serta kos pembiayaan kumpulan dengan pelupusan ini dijangka memperbaiki prestasi kewangan dan kedudukan rizab syarikat.
Pelupusan itu juga akan menjana keuntungan bersih kira-kira RM1.5 juta, selepas mengambil kira kos pelaburan asal RM4.6 juta, cukai keuntungan harta tanah (RPGT) dan kos berkaitan.
Bagaimanapun kata YLI, pendapatan sesaham (EPS) berkurang sedikit dari 52.51 sen kepada 51.08 sen, manakala aset bersih sesaham (NAPS) meningkat daripada RM1.35 kepada RM1.37.
"Secara am, pelupusan ini tidak melibatkan sebarang liabiliti tertunggak dan tidak memberi kesan kepada struktur pemegangan saham atau modal terbitan syarikat," kata kumpulan itu.
Di samping itu tambah syarikat, transaksi penjualan berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kerajaan dan dijangka selesai pada suku pertama 2026.
YLI turut mengesahkan yang tiada konflik kepentingan wujud melibatkan pengarah atau pemegang saham utama syarikat itu berikutan pelupusan tersebut. - DagangNews.com








