Yinson sasar terajui operasi kapal pesisir berteknologi kurang pelepasan karbon di dunia, kata UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson sasar terajui operasi kapal pesisir berteknologi kurang pelepasan karbon di dunia, kata UOBKH

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 AprilYinson Holdings Berhad menarik perhatian global apabila mengoperasikan kapal pesisir berteknologi kurang perlepasan karbon yang pertama di dunia melalui FPSO Agogo.

 

Menurut UOB Kay Hian (UOBKH), kejayaan bersejarah pada 30 Mac 2026 itu mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam peralihan tenaga dan menerajui segmen kapal pemprosesan minyak di laut.


Tambah firma itu, ia menandakan keupayaan teknologi syarikat menggabungkan inovasi tenaga bersih dengan operasi minyak dan gas (O&G), serta membuka peluang baharu dalam landskap tenaga global.


“Perkembangan ini meletakkan Yinson dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan trend keselamatan tenaga antarabangsa serta pelaburan dalam rumusan rendah karbon,” katanya dalam nota analisis.


UOBKH berpandangan segmen kapal pengeluaran terapung, penyimpanan dan pemindahan (FPSO) berpotensi menjadi pilihan pelaburan strategik bagi banyak negara menangani risiko keselamatan tenaga.


Sekiranya tema ini menjadi realiti, ia dijangka mempercepatkan usaha kumpulan itu menjana nilai melalui pelupusan aset FPSO seperti Maria Quiteria dan Agogo, selain mengukuhkan aliran tunai.


Walaupun sebelum ini tidak dilihat menerima manfaat dari konflik Timur Tengah, kapal pengangkut minyak mentah berskala besar (VLCC) milik Yinson, YP Antares, kini meraih banyak manfaat besar.

 

Yinson_DagangNews


"Ini termasuk menerusi kadar sewaan tinggi, dan ia terus agresif dalam pengembangan portfolio FPSO untuk bersaing dengan Bumi Armada Berhad bagi mendapatkan kontrak di Indonesia," jelas UOBKH lagi.


Firma penyelidikan berkenaan turut menekankan kemajuan projek utama termasuk pembinaan FSO Lac Da Vang dan FSO Block B, dengan sasaran pengeluaran awal gas dapat beroperasi menjelang tahun depan.


Selain itu tambahnya, FPSO Anna Nery di Brazil menyumbang lebih RM100 juta kepada pendapatan bersekutu kumpulan tersebut pada suku keempat 2026, serta mengukuhkan prestasi keseluruhan Yinson.


Bagi 4QFY26 kata UOBKH, hasil kumpulan susut 19.5% kepada RM1.12 bilion berikutan sumbangan lebih rendah daripada aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC).


"Bagaimanapun, prestasi keuntungan disokong pencapaian kemajuan projek FPSO Agogo bernilai AS$170 juta (RM672 juta), insentif penghantaran awal dan pemulihan kukuh operasi di Brazil," ujarnya.


Sehubungan itu, UOBKH mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.75 sesaham, yang bersandarkan penilaian 12 kali ganda nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi unjuran FY27.


Di samping itu, firma berkenaan turut mengekalkan unjuran pendapatan, dengan prospek jangka sederhana dilihat positif hasil strategi pengembangan global dan keupayaan inovasi teknologi.


Secara keseluruhan, Yinson berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai pemain utama global dalam industri FPSO, sambil memanfaatkan peluang besar dalam peralihan tenaga dunia. - DagangNews.com