Yinson GreenTech bekerjasama dengan Khazanah perkukuh ekosistem pengecasan EV Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson GreenTech bekerjasama dengan Khazanah perkukuh ekosistem pengecasan EV Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Mac — Yinson GreenTech, peneraju ekosistem elektrifikasi Malaysia, telah menerima pelaburan daripada Khazanah Nasional Berhad untuk menambah bilangan stesen pengecasan di negara ini.
 

Pelaburan melalui Dana Impak Khazanah itu akan membolehkannya meningkatkan operasi dalam perniagaan pengecasan kenderaan elektrik (EV), chargeEV.
 

Inisiatif pengecasan itu dicetuskan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) untuk muncul sebagai peneraju pasaran.
 

Langkah itu juga adalah selaras dengan peralihan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih hijau dan wawasan jangka panjangnya untuk pembangunan mampan, seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
 

"Usaha ini untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Dana ini akan membantu chargEV menambah bilangan stesen pengecasan di seluruh negara bagi menyokong komitmen Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk ada 10,000 titik pengecasan EV," katanya dalam satu kenyataan.
 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Greentech, Lim Chern Yuan berkata, pihaknya berbesar hati dapat menerima pelaburan Khazanah melalui Dana Impak itu dan berharap perkongsian tersebut akan memperkukuhkan lagi kekuatan kewangan syarikat.
 

"Ini membolehkan kami meningkatkan operasi dan mengukuhkan kepimpinan kami dalam perjalanan mobiliti hijau Malaysia. Pelaburan ini tiba pada masa yang sesuai, kerana kami sedang mengalami pertumbuhan perniagaan yang ketara," katanya.

 

yinson


Setakat Disember 2024, hasil bayar setiap penggunaan pengecas syarikat itu telah meningkat lima kali ganda dan sesi pengecasan juga meningkat dua kali ganda berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
 

Beliau berharap untuk mempertingkatkan lagi ekosistem EV negara untuk memenuhi permintaan yang berkembang pesat untuk pengalaman pengecasan yang boleh dipercayai, mudah dan lancar di seluruh Malaysia.
 

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pihaknya berbesar hati menyokong chargEV untuk menyediakan dan meningkatkan rangkaian infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EVCI) Malaysia.
 

"Pelaburan ini adalah komitmen kami untuk memudahkan peralihan negara ke arah masa depan rendah karbon dan sejajar dengan tonggak Peralihan Tenaga di bawah rangka kerja Khazanah iaitu 'A Nation that Creates'," jelasnya.
 

Meskipun ekosistem EV di Malaysia masih di peringkat awal, penglibatan Khazanah ujarnya, bertujuan untuk memupuk pertumbuhannya dan berharap ia juga akan memberi inspirasi kepada pelabur lain untuk menyertai usaha itu.
 

Khazanah kata beliau, berhasrat mewujudkan pendekatan secara kolaboratif untuk membina infrastruktur EV yang komprehensif dan boleh dipercayai di seluruh negara.
 

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Saiful Adib Abdul Munaff berkata, pihaknya memuji perkongsian dan pelaburan ini untuk mempercepatkan lagi pengembangan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia.
 

"Pada awal 2025, kita mempunyai 3,611 titik pengecasan di seluruh negara dan adalah penting untuk terus meningkatkan jumlah ini, tetapi adalah mustahak untuk memastikan ia digunakan dengan baik dan sepenuhnya dalam kawasan yang selamat," katanya.
 

Rangkaian pengecasan adalah tulang belakang yang menyokong peralihan ke arah EV dan MGTC menggalakkan banyak syarikat meneroka cara inovatif untuk menggabungkan tenaga boleh diperbaharui sebagai bekalan utama bagi meningkatkan kemampanan pemanduan EV. - DagangNews.com