KUALA LUMPUR 19 Dis — Yew Lee Pacific Group Berhad (YLPG) menerusi anak syarikatnya, Yew Lee Pacific Holding Sdn Bhd (YLPH) menjual dua unit kedai di Ipoh, Perak yang keseluruhannya bernilai RM1.7 juta.
Pelupusan itu melibatkan No.17, Jalan Bijih Timah dan No.48, Jalan Pasar masing-masing pada harga RM850,000, yang dibeli oleh Pengarah Urusan dan pemegang saham utama YLPG, Datuk Ang Lee Leong.
Menurut kumpulan pengedaran produk pengguna dan pengurusan hartanah itu, dua transaksi tersebut diklasifikasikan sebagai urusan pihak berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE.
"Kedua-dua bangunan dua tingkat itu sebelum ini digunakan sebagai pejabat dagangan, namun menjadi aset lebihan selepas operasi kumpulan disatukan di ibu pejabat," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Aset syarikat berkenaan jelas YLPG, kemudiannya disewakan sebagai hartanah pelaburan, tetapi kini dilupuskan selaras dengan strategi pengurusan modal dan penyusunan tumpuan perniagaan teras.
Kumpulan tersebut katanya lagi, turut menjangkakan keuntungan kira-kira RM1.03 juta dicatatkan daripada proses pelupusan itu selepas diambil kira pelbagai kos yang berkaitan sekitar RM117,000.
Hasil daripada pelupusan berkenaan tambahnya, akan digunakan pula sebagai modal kerja syarikat itu bagi menyokong pelbagai aktiviti perniagaan teras yang dirancang dalam tempoh 12 bulan ke hadapan.
"Jumlah pertimbangan jualan tersebut, ditentukan berdasarkan kepada prinsip kedua-dua pembeli dan penjual bersedia menerima harga ditetapkan, dengan mengambil kira keadaan hartanah," kata YLPG.
Penilaian bebas oleh firma JS Valuers Property Consultants (Perak) Sdn Bhd pada 17 Februari 2025 meletakkan nilai pasaran RM800,000 bagi aset di Jalan Bijih Timah dan RM850,000 di Jalan Pasar.
Kedua-dua hartanah berkenaan adalah masih lagi berstatus pegangan bebas, dengan tidak terikat daripada sebarang bebanan hutang, serta masing-masing berusia sekitar 35 tahun hingga 36 tahun**.
Ketika ini, hartanah di Jalan Bijih Timah disewakan oleh YLPG pada kadar RM6,000 sebulan, manakala bangunan yang terletak di Jalan Pasar pula hanya menjana pendapatan RM2,200 pada setiap bulan.
"Pelupusan ini tiada kesan material kepada modal saham, pegangan pemegang saham, aset bersih sesaham atau nisbah gear bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025," jelas kumpulan itu.
Selain itu, jelas syarikat berkenaan, Lee Leong serta pihak yang berkepentingan berkaitan turut menarik diri daripada perbincangan dan pengundian Lembaga Pengarah berhubung transaksi ini.
Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko serta Lembaga Pengarah menyatakan pelupusan tersebut adalah adil, munasabah dan tidak menjejaskan kepentingan pemegang saham minoriti.
Pada masa yang sama, transaksi jual beli ini juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai dalam tempoh 12 bulan. - DagangNews.com








