YeaShin International Development lancarkan Birkin International Hotel di Melaka dengan GDV RM500 juta   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YeaShin International Development lancarkan Birkin International Hotel di Melaka dengan GDV RM500 juta  

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Pemaju kompleks kediaman berpangkalan Taiwan, YeaShin International Development Co Ltd, mengumumkan pelancaran lembut Birkin International Hotel di Melaka dengan kos pembangunan kasar (GDV) RM 500 juta.

 

Hotel mewah yang mempunyai 526 bilik itu dibina oleh anak syarikat penuhnya di Malaysia, YeaShin Construction Sdn Bhd.

 

Berhadapan Selat Melaka yang juga Tapak Warisan Dunia UNESCO, hotel tersebut menawarkan hospitaliti berkualiti tinggi dan menjanjikan pengalaman luar biasa kepada tetamu.

 

Birkin International Hotel menyasar untuk menawarkan pengalaman yang tiada tandingannya untuk pengembara di seluruh dunia.

 

Birkin

 

"Hotel juga menawarkan bilik hotel yang luas, dilengkapi dengan kelengkapan bilik premium, dan peralatan mandian berkualiti tinggi.

 

"Setiap ruang adalah gabungan harmoni antara keselesaan, fungsi dan kecanggihan, direka untuk menyediakan pengalaman yang tenang kepada tetamu .

 

"Selain itu, Birkin International Hotel juga komited terhadap kemampanan termasuk sistem pengurusan udara dan bau yang canggih, penuaian air hujan, sistem HVAC pintar dan pengeluaran air osmosis songsang bagi memastikan kecekapan tertinggi.

 

"Bagi pengurusan sisa, pihak hotel menjalankan program pengkomposan untuk mengurangkan pergantungan pada plastik sekali pakai dan inisiatif bank makanan yang menyokong komuniti setempat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Birkin

 

Pengurus Besar Birkin International Hotel, Simon Tan berkata, Birkin International Hotel mewakili masa depan sektor hospitaliti.

 

"Selain daripada spek keselesaan, Birkin International Hotel merupakan kemudahan kepada pelancong asing, kami juga komited terhadap kemampanan.

 

"Hotel ini merangkumi kemewahan yang bertanggungjawab pada tahap terbaiknya, bersedia untuk memberikan pengalaman yang luar biasa kepada tetamu dari seluruh dunia," katanya.

 

Sementara itu, sempena pelancaran lembut itu, Birkin International Hotel menawarkan harga penginapan bermula daripada RM480. - DagangNews.com