Yayasan Sime Darby labur RM60 juta di Sarawak untuk pendidikan, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Sime Darby labur RM60 juta di Sarawak untuk pendidikan, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat

Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar (kiri) bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu pertemuan di Wisma Pelita, semalam. Gambar/FB Jabatan Penerangan Sarawak

KUALA LUMPUR 28 Jan - Yayasan Sime Darby akan melabur sebanyak RM60 juta dalam bidang pendidikan, alam sekitar, kesejahteraan komuniti, sukan serta seni dan budaya di Sarawak.

 

Pengerusinya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar berkata, pelaburan itu akan dilakukan melalui tiga syarikatnya iaitu SD Guthrie, Sime Darby Berhad dan Sime Darby Property.

 

"Sarawak mempunyai potensi besar untuk menjalin kerjasama strategik melibatkan agensi kerajaan negeri, bagi memperkukuhkan pembangunan dalam bidang pendidikan, alam sekitar, kesejahteraan komuniti, sukan dan seni serta budaya," katanya seperti laporan The Borneo Post.

 

Beliau berkata demikian selepas bertemu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Pelita, semalam.

 

Tunku Imran berkata, pertemuan dengan Abang Johari adalah untuk membincangkan pelaksanaan beberapa projek kerjasama dua hala antara kerajaan Sarawak dan Yayasan Sime Darby.

 

"Selain menjadi rakan kongsi, saya berharap Yayasan Sime Darby dapat membiayai projek-projek di Sarawak, dengan hasilnya akan disumbangkan semula kepada masyarakat," ujarnya.

 

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ahli Majlis Pengurusan Yayasan Sime Darby, Datu Dr Rashidah Bolhassan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Yatela Zainal Abidin dan Ketua Strategi dan Hal Ehwal Korporat, Muzdalifah Mohd Nasir. - DagangNews.com