Yayasan Peneraju sasar 2,000 akauntan bertauliah tahun depan melalui penyertaan CIMA dan AICPA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Peneraju sasar 2,000 akauntan bertauliah tahun depan melalui penyertaan CIMA dan AICPA

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 1 Dis – Pelantikan Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Amerika (AICPA) sebagai Institusi Pembelajaran dan Latihan (ALTI) yang diluluskan oleh Yayasan Peneraju dijangka mempercepat pembangunan bakat profesional Bumiputera. Sasaran mereka ialah melahirkan 2,000 akauntan bertauliah tahun depan dan 5,000 setahun menjelang 2030.

 

CIMA dan AICPA membentuk Association of International Certified Professional Accountants, sebuah persatuan global dalam bidang perakaunan awam dan pengurusan. 

 

Setakat ini, lebih 9,000 bakat Bumiputera telah menerima manfaat daripada program perakaunan profesional Yayasan Peneraju di seluruh negara.

 

Menurut Yayasan Peneraju, penyertaan CIMA sebagai ALTI berkuat kuasa September lalu menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas akses kepada laluan pensijilan profesional bertaraf global, selari dengan pelaksanaan skim pembiayaan baharu berasaskan pinjaman.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata dalam kenyataan, skim pembiayaan baharu itu memberi kuasa kepada bakat Bumiputera untuk mengambil pemilikan lebih besar terhadap pembangunan profesional mereka.

 

“Peralihan kepada struktur berasaskan pinjaman memberi fleksibiliti kepada pelajar untuk memilih sendiri penyedia pembelajaran atau ALTI pilihan mereka,” katanya.

 

Beliau berkata, Yayasan Peneraju menyasarkan untuk melatih 2,000 akauntan bertauliah pada tahun hadapan, sebagai sebahagian daripada aspirasi lebih besar untuk menghasilkan 5,000 akauntan bertauliah setiap tahun menjelang 2030.

 

“Dengan penyertaan CIMA sebagai ALTI Yayasan Peneraju, yayasan yakin kerjasama ini akan membantu merealisasikan sasaran tersebut serta melahirkan profesional Bumiputera yang mampu bersaing dan memimpin di peringkat global,” katanya.

 

Dengan pelantikan ini, sebahagian besar program profesional CIMA kini layak di bawah Skim Pembiayaan Yayasan Peneraju, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada Bumiputera untuk memperoleh kelayakan bertaraf antarabangsa.

 

Sementara itu, Pengarah Pasaran Asia Tenggara AICPA dan CIMA, Saritha Subramaniam berkata, misi kedua-dua badan profesional itu adalah untuk memperkasa para profesional dengan kompetensi, ketangkasan dan daya pandang jauh bagi membolehkan mereka memimpin dengan yakin.

 

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam memupuk bakat dan memajukan pembelajaran sepanjang hayat, yang menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan serta daya saing global Malaysia,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan penyertaan kohort pertama CGMA Bumiputera Career Accelerator dan Bumiputera Leadership Growth Accelerator Initiative yang melibatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan terkemuka.

 

Menurutnya, program ini direka bagi menyokong graduan Bumiputera berpotensi tinggi serta profesional berpengalaman untuk mempercepatkan perkembangan kerjaya menerusi kelayakan CGMA. - DagangNews.com