Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Jun – Kerajaan MADANI mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai 2026 menerusi pembaharuan penyasaran subsidi yang menggunakan mekanisme pengesahan MyKad, sekali gus menyelaraskan sistem subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan memastikan subsidi kerajaan disalurkan secara terus kepada rakyat Malaysia yang layak, selain mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan baharu itu dilaksanakan selaras dengan mekanisme yang digunakan dalam program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), di mana rakyat Malaysia akan menikmati harga diesel bersubsidi yang sama dan kaedah pembelian yang seragam di seluruh negara.

 

“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara.

 

"Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Langkah tersebut diumumkan ketika konflik di Asia Barat terus memberi tekanan kepada pasaran minyak global dan meningkatkan risiko terhadap bekalan tenaga dunia.

 

Kerajaan menjelaskan bahawa jurang harga yang besar antara diesel bersubsidi dan diesel tanpa subsidi telah membuka ruang kepada ketirisan serta penyeludupan bahan api berkenaan, termasuk ke negara jiran.

 

Pada masa ini, diesel dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, manakala harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia berada pada paras RM4.37 seliter.

 

Melalui pelaksanaan sistem baharu itu, harga diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan mekanisme yang digunakan di Semenanjung Malaysia, sekali gus menamatkan akses subsidi kepada bukan warganegara.

 

Pada masa sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang memiliki kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga bahan api daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.

 

Penyasaran subsidi yang lebih tepat dijangka membantu kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan fiskal negara, selain memastikan manfaat subsidi dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

 

Maklumat lanjut berhubung pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu dijangka diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 22 Jun 2026. - DagangNews.com