Yayasan ASEAN lancar program khas banteras penipuan digital di Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan ASEAN lancar program khas banteras penipuan digital di Asia Tenggara

Inisiatif tersebut disokong pembiayaan sebanyak AS$5 juta daripada Google
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Mei – Yayasan ASEAN melancarkan inisiatif serantau baharu dikenali sebagai ‘Scam Ready ASEAN’ bagi memperkukuh usaha memerangi penipuan dalam talian yang semakin meningkat di Asia Tenggara.

 

Pelancaran program itu dibuat sempena Google 2026 Online Safety Dialogue yang menghimpunkan pembuat dasar, industri teknologi serta pakar keselamatan digital dari seluruh rantau ASEAN bagi membincangkan ancaman penipuan siber yang semakin kompleks.

 

Inisiatif tersebut disokong pembiayaan sebanyak AS$5 juta daripada Google.org dengan sasaran meningkatkan ketahanan digital dalam kalangan 3 juta rakyat ASEAN melalui program pendidikan, latihan dan kempen kesedaran.

 

Scam Ready ASEAN dilaksanakan melalui model Train-the-Trainer berskala besar yang melibatkan 20 organisasi tempatan di 11 negara anggota ASEAN, dengan penglibatan 2,000 Master Trainers.

 

Kesemua mereka akan menyampaikan modul pendidikan keselamatan digital kepada komuniti masing-masing.

 

Program ini menyasarkan sekurang-kurangnya 550,000 penerima manfaat secara langsung melalui latihan berstruktur, selain penggunaan alat interaktif termasuk permainan pendidikan digital Be Scam Ready bagi membantu pengguna mengenal pasti dan mengelakkan penipuan dalam talian.

 

Selain itu, inisiatif ini turut melaksanakan enam dialog dasar di peringkat nasional serta tiga dialog di peringkat serantau termasuk di Malaysia, bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat dalam menangani isu penipuan digital.

 

Statistik menunjukkan penipuan dalam talian semakin membimbangkan dengan kerugian di Asia Tenggara dianggarkan mencecah AS$23.6 bilion pada tahun 2024 menjadikannya antara ancaman digital paling serius di rantau ini.

 

Di Malaysia sahaja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan lebih 34,000 kes penipuan dalam talian pada tahun 2023 dengan kerugian sekitar RM1.2 bilion, melibatkan pelbagai modus operandi termasuk penipuan pelaburan, penyamaran pihak bank serta scam pembelian dalam talian.

 

Pihak berkuasa menjelaskan penipuan kini semakin canggih dengan penggunaan identiti palsu, manipulasi kandungan digital serta koordinasi rentas platform yang menyukarkan pengesanan awal oleh pengguna.

 

Perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan generatif, peningkatan penggunaan pembayaran digital serta aktiviti media sosial turut memperluas risiko penipuan dalam talian kepada semua lapisan masyarakat.

 

Bagi menangani cabaran ini, Malaysia telah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebagai pusat tindak balas pantas, selain memperkukuh kerjasama antara agensi penguatkuasaan, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.

 

Pengarah Eksekutifnya, Dr Piti Srisangnam berkata penipuan dalam talian kini bukan lagi isu terpencil tetapi cabaran bersama yang menjejaskan kepercayaan terhadap ekosistem digital serantau.

 

Sementara itu, Naib Presiden Asia Tenggara Sapna Chadha berkata keselamatan digital memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, industri dan masyarakat bagi memastikan pengguna lebih bersedia menghadapi ancaman siber.

 

Pelancaran Scam Ready ASEAN ini mencerminkan peralihan penting ke arah pendekatan pencegahan yang lebih proaktif, dengan matlamat membina masyarakat digital yang lebih selamat, berpengetahuan dan berkeyakinan di seluruh Asia Tenggara. - DagangNews.com