XL Holdings ambil alih 34 cawangan Giant Mini pada harga RM15 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

XL Holdings ambil alih 34 cawangan Giant Mini pada harga RM15 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Mei - XL Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, XL Retail Sdn Bhd memeterai perjanjian pembelian aset bagi mengambil alih perniagaan 34 cawangan “Giant Mini” bernilai RM15 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata perjanjian tersebut ditandatangani pada 30 April 2026 bersama Jutaria Gemilang Sdn Bhd.

 

Menurutnya, aset yang diperoleh merangkumi hak penyewaan bagi kesemua 34 cawangan di sekitar Lembah Klang, selain kelengkapan seperti perabot, lekapan dan peralatan, serta stok dan inventori sekurang-kurangnya RM100,000 bagi setiap outlet.

 

“Pengambilalihan ini turut melibatkan tenaga kerja sedia ada di semua cawangan, tertakluk kepada proses pengesahan stok secara bersama,” katanya.

 

XL Holdings menjelaskan langkah itu sejajar strategi syarikat untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dengan memasuki segmen runcit kemudahan yang dilihat mempunyai permintaan pengguna yang stabil serta aliran tunai berulang.

 

Katanya, rangkaian mini mart berkenaan merupakan perniagaan yang telah beroperasi dan mempunyai asas pelanggan tersendiri, sekali gus dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan dalam tempoh jangka sederhana.

 

“Lembaga pengarah percaya cadangan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan teras sedia ada, malah membuka peluang pengembangan lanjut dalam sektor peruncitan,” ujarnya.

 

Pengambilalihan tersebut akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman dan dijangka dimuktamadkan sebelum 31 Mei 2026, tertakluk kepada pemenuhan semua syarat yang ditetapkan. - DagangNews.com