KUALA LUMPUR 20 April – WTEC Group Bhd merancang untuk memperoleh sebuah kilang berkembar bersama ruang pejabat di Semenyih, Selangor berharga RM10.8 juta sebagai sebahagian daripada pelan penyatuan operasi pembuatan kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar produk buih dan fabrik itu berkata, ia telah menandatangani surat tawaran bagi pembelian hartanah tersebut daripada Athens Park Machineries Sdn Bhd pada Jumaat lalu.
Menurut WTEC, cadangan pengambilalihan itu selari dengan perancangannya untuk menggabungkan sebahagian operasi pembuatan sedia ada daripada empat kilang berasingan ke dalam satu kilang baharu.
“Langkah penyatuan itu akan membolehkan pengurusan operasi dan kawalan kualiti dilaksanakan dengan lebih cekap, di samping meningkatkan penyelarasan proses pengeluaran.
“Selain itu, syarikat menjangkakan langkah berkenaan dapat mengurangkan kos pengangkutan serta memendekkan tempoh proses dan masa penghantaran produk kepada pelanggan,” katanya dalam makluman tersebut.
WTEC berkata, kilang yang mahu dibeli itu adalah bangunan siap dibina yang boleh terus digunakan dan akan menyokong peralihan operasi tanpa memerlukan pembinaan tambahan.
Pembelian hartanah tersebut akan dibiayai melalui gabungan dana yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO), dana dalaman serta pinjaman bank, bergantung kepada keperluan kewangan semasa.
Menurut makluman itu, Athens Park Machineries Sdn Bhd dimiliki secara sama rata oleh Ho Zee Kim, Kuan Mun Chyi dan Soo Sun Phui, namun tarikh jangkaan penyempurnaan urus niaga tidak didedahkan. - DagangNews.com








