Worldwide Holdings raih anugerah Majikan Pilihan (Sektor Swasta) Kategori Emas daripada MIHRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Worldwide Holdings raih anugerah Majikan Pilihan (Sektor Swasta) Kategori Emas daripada MIHRM

Wakil-wakil dari Worldwide Holdings Berhad yang menghadiri majlis anugerah anjuran Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM). - Foto ihsan WHB
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 DisWorldwide Holdings Berhad (WHB) menerima anugerah sebagai Majikan Pilihan (Sektor Swasta) Kategori Emas oleh Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM).


Anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu berkata, pengiktirafan berprestij tersebut bagi kecemerlangan terhadap amalan sumber manusia dan penglibatan pekerja.


Anugerah ini mengiktiraf komitmen WHB membina persekitaran kerja progresif dan berprestasi tinggi, termasuk fokus pembangunan bakat, kesejahteraan pekerja, dan penambahbaikan yang berterusan.


"Ia meliputi semua peringkat organisasi, dan penerimaan anugerah ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Khidmat Sokongan WHB, Kamal Zaharin Nazir," kata syarikat berkenaan dalam kenyataan.


MIHRM menilai organisasi itu berdasarkan tahap kepimpinan, strategi sumber manusia, penglibatan pekerja, pembelajaran secara berterusan, dan pelaksanaan inovasi dalam amalan sumber manusia.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, kejayaan ini mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan modal insan jangka panjang syarikat.


"Kami akan terus membangunkan inisiatif secara bermakna yang terus memupuk bakat, menggalakkan inovasi semasa dan membentuk budaya kerja lebih mampan dalam kalangan pekerja,” kata beliau.


Selain itu, WHB turut meraih Kelas Emas 2 di bawah Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ke-43 anjuran badan profesional, Malaysian Society fo Occupational Safety and Health (MSOSH).


Dua anak syarikatnya, Worldwide Envirogreen Sdn Bhd dan Worldwide Hydro Energy Sdn Bhd pernah menerima Selangor Investors Appreciation Awards bagi kategori pelaburan tertinggi syarikat.


Kesemua pencapaian ini membuktikan komitmen teguh WHB terhadap kecemerlangan operasi, amalan perniagaan bertanggungjawab dan pelaburan strategik yang memberi impak jangka panjang.


WHB yang ditubuhkan pada 1965, berkembang menjadi konglomerat dengan tumpuan utama pada tenaga, alam sekitar, hartanah, dan peranti perubatan di Lembah Klang. - DagangNews.com