Wintech perluas rumusan pejabat pintar berasaskan AI, tampil produk baharu di Expo 2025 Osaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wintech perluas rumusan pejabat pintar berasaskan AI, tampil produk baharu di Expo 2025 Osaka

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Wintech Metal Processing Sdn Bhd menyasarkan perluasan portfolio pejabat pintar dengan mengetengahkan rumusan berasaskan kecerdasan buatan (AI) menyediakan analitik lanjutan.


Syarikat fabrikasi logam dan penyedia rumusan ruang kerja itu berkata, usaha terbaharu berkenaan dapat memantau penghunian masa nyata, serta rekaan akustik boleh suai mengikut keperluan pelanggan.


Pengarah Pemasarannya, Dixon Loong berkata, masa depan dunia kerja menuntut tahap fleksibiliti dan penyesuaian secara berterusan yang menggabungkan rumusan dalam rekaan, teknologi dan data semasa.


“Kami sedang membina rumusan ini, namun kekal berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan bersempena penglibatan syarikat tersebut di Pavilion Malaysia dalam Expo 2025 Osaka, Jepun.


Sebagai wakil industri dalam acara itu, Wintech katanya, menekankan masa depan kerja bukan sekadar berteknologi tinggi, tetapi perlu wujud keselarasan antara manusia, ruang, dan kelestarian alam.


Beliau berkata jemputan rasmi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menyertai Pavilion Malaysia merupakan satu pengiktirafan penting dan juga penanda aras baharu bagi syarikat.


“Jangan ragu dengan kemampuan sendiri dan beranilah mengetengahkan keunikan anda. Dunia sentiasa mencari idea-idea segar, malahan Malaysia mempunyai banyak idea bernas untuk ditawarkan,” ujar Loong.


Sepanjang ekspo itu, Wintech menampilkan WINPOD, pod akustik mesra alam daripada bahan kitar semula dan kemasan semula jadi direka menjadi ruang tenang di tengah persekitaran kerja sibuk dan bising.


Tambah beliau, setakat ini reaksi pengunjung yang mencuba sendiri pod tersebut digambarkan sebagai konsisten dan mengujakan, sekali gus dijangka membuka lebih banyak perbincangan jualan strategik.


“Peluang ini membolehkan kami menceritakan kisah inovasi Malaysia kepada khalayak global dan ia juga membuktikan perusahaan kecil dan sederhana negara kita bukan sekadar penyertaan pasif," katanya.


Penampilan Wintech dalam pameran perdagangan antarabangsa kata Loong, sebaliknya turut menerajui masa depan kerja, rekaan dan kelestarian selain diadakan sesi padanan perniagaan yang disokong MITI.


Langkah berkenaan tambahnya, telah membuka ruang perbincangan bersama pengendali kerja bersama, agensi kerajaan serta pembeli antarabangsa yang berminat dengan rumusan unik ditawarkan mereka.


"Walaupun belum ada perjanjian rasmi dimeterai setakat ini, kami melihat interaksi sepanjang ekspo sebagai permulaan kepada kerjasama strategik dan peluang eksport yang lebih luas," katanya. - DagangNews.com