KUALA LUMPUR 24 Sept – Winstar Capital Berhad masih menunggu kelulusan akhir daripada beberapa agensi kerajaan bagi memulakan operasi kilang pengekstrudan aluminium ketiganya di Ijok, Selangor.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chua Boon Hong, fasiliti baharu tersebut apabila dapat beroperasi sepenuhnya dijangka mampu menggandakan kapasiti tahunan syarikat kepada lebih 15,000 tan.
Tambahnya, kelulusan berkenaan antaranya merangkumi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), serta kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kami sedang berusaha keras dan menjangkakan semua dokumen lengkap sebelum hujung tahun ini,” kata beliau pada sesi taklimat prestasi bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 kumpulan berkenaan.
Kilang bernilai RM14.5 juta yang dibina bersebelahan fasiliti sedia ada itu menempatkan empat barisan pengekstrudan aluminium dan meningkatkan kapasiti tahunan berbanding 6,705 tan ketika ini.
Boon Hong menjelaskan, kesemua mesin baharu untuk kilang tersebut sebenarnya sudah siap dibina di China serta hanya akan dihantar dan dipasang pasukan juruteranya setelah kelulusan diperoleh.
Proses pemasangan itu katanya, dijangka mengambil masa sebulan sebelum operasi penuh dimulakan. Projek tersebut dibiayai melalui gabungan RM11.6 juta pinjaman bank dan dana dalaman syarikat.
"Bagaimanapun, kelewatan kelulusan itu menambah tekanan kewangan kepada Winstar kerana faedah pinjaman dan susut nilai terus meningkat walaupun kilang masih belum beroperasi," tambah beliau.
Selain itu Boon Hong menegaskan, pengembangan ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga serta menangani permintaan tinggi daripada sektor solar, pembinaan dan hartanah.
Apabila kilang tersebut katanya, mula beroperasi, syarikat akan terus menghentikan aktiviti perdagangan aluminium dan menukar kepada pengeluaran dalaman, sekali gus meningkatkan margin keuntungan.
Selain itu, Winstar menyasarkan peluang subkontrak dalam projek solar di Port Dickson, Negeri Sembilan, dibangunkan oleh pemegang saham utamanya, Sunview Group Bhd, bersama Cypark Resources Bhd.
“Kami berasa yakin peluang lebih 50% untuk mendapat kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) itu, tetapi ia masih perlu melalui pelbagai proses tender,” kata Boon Hong.
Sementara itu, beliau mengumumkan bagi tempoh separuh pertama FY25, Winstar berjaya mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM6.06 juta daripada pendapatan yang mencecah RM118.78 juta.
Perkembangan positif tersebut jelas beliau, meletakkan syarikat pada landasan yang memerlukan sekitar 41% lagi untuk mengatasi jumlah pendapatan RM203.39 juta direkodkan bagi tahun sebelumnya.
“Sehubungan itu, kami optimis pada tahun ini semua kelulusan untuk kilang baharu diselesaikan. Lagi cepat kami mula, lagi cepat kami dapat rebut peluang pasaran yang ada,” ujarnya. - DagangNews.com








