WF Holding mula didagangkan di Nasdaq selepas lengkap terbitan IPO RM17.73 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

WF Holding mula didagangkan di Nasdaq selepas lengkap terbitan IPO RM17.73 sesaham

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mac - WF Holding Limited yang disenaraikan di pasaran modal Nasdaq Amerika Syarikat (AS) hari ini, mula didagangkan selepas melengkapkan terbitan tawaran awam permulaan (IPO) dengan harga AS$4 (kira-kira RM17.73) sesaham.
 

Melalui penyenaraian itu, pengeluar produk plastik bertetulang gentian kaca berpangkalan di Shah Alam, Selangor itu dijangka meraih hasil kasar sebanyak AS$8 juta (RM35.46 juta) sebelum ditolak diskaun penaja jamin dan perbelanjaan berkaitan.
 

Syarikat yang ditubuhkan pada 1984 itu dalam satu kenyataan berkata, hasil IPO tersebut akan digunakan untuk mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran, melatih kakitangan, menyokong modal kerja, serta menampung tujuan korporat am.
 

Bekas Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan PRG Holdings Berhad dan juga bekas Pengarah Bebas di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Lua Choon Hann, telah dilantik syarikat tersebut sebagai Pengarah Bebas WF Holding.
 

Ketua Pegawai Eksekutif WF Holding, Chee Hoong Lew dalam satu kenyataan berkata, turut dilantik menyertai anggota lembaga pengarah syarikat berkenaan ialah bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong.

 

wf
CHEE HOONG LEW


“Penyenaraian di Nasdaq merupakan satu peristiwa penting bagi WF Holding, serta membolehkan kami mampu mengembangkan rangkaian produk, kapasiti dan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat,” katanya.
 

Syarikat tersebut kata beliau, turut teruja untuk meneruskan pertumbuhan di Malaysia serta pasaran antarabangsa utama seperti Australia dan Singapura, selain menghasilkan produk dan rumusan yang berkualiti tinggi kepada pelanggan.
 

Pelan pengembangan itu termasuk menubuhkan kemudahan pembuatan atau perkongsian strategik serta menyasarkan peluasan penawaran produk melalui penggabungan dan pemerolehan, pembangunan produk dalaman serta pelaburan teknologi dan jentera.
 

"Pada akhirnya, kami mahu meletakkan diri untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat kepada produk ditawarkan merentas pelbagai industri seperti minyak dan gas, sistem kawalan pencemaran udara serta tenaga boleh diperbaharui," kata Hoong Lew.
 

Saham WF Holding ditutup pada AS$3.75 (RM16.62) setiap satu pada hari pertama dagangan, yang memberikannya jumlah permodalan pasaran sebanyak AS$93.56 juta (RM414.19 juta). - DagangNews.com