West River perjelas pembelian tanah RM8.4 juta di Putrajaya, guna pendekatan bayaran hibrid | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

West River perjelas pembelian tanah RM8.4 juta di Putrajaya, guna pendekatan bayaran hibrid

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 SeptWest River Berhad memperincikan maklumat cadangan pembelian sebidang tanah komersial di Presint 2, Putrajaya bernilai RM8.4 juta yang diumumkan pada 19 September 2025.


Kumpulan tersebut berkata, langkah yang dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuhnya, West River Engineering Sdn Bhd (WRE) itu bakal melibatkan pembayaran secara hibrid, melibatkan dua peringkat.


Katanya, sebanyak RM4.5 juta dibiayai melalui pinjaman bank berjumlah RM4.2 juta dan dana dalaman RM300,000, manakala baki RM3.9 juta dijelaskan melalui penyerahan hak ke atas tuntutan hutang.


"Bayaran itu juga dilunaskan menerusi kerja tambahan (VO) daripada Orangebeam Construction Sdn Bhd kepada penjual, Orangebeam Development Sdn Bhd," maklum West River kepada Bursa Malaysia hari ini.


Syarikat tersebut selain itu menjelaskan tiada penilaian formal dibuat ke atas tanah berkenaan, namun nilai secara indikatif diperoleh daripada firma MN Associates Sdn Bhd pada 29 Mei 2025.


Ia katanya, menganggarkan harga tanah tersebut antara RM350 hingga RM430 sekaki persegi, tetapi nilai itu masih lagi tertakluk kepada ketiadaan bebanan undang-undang dan pengosongan milikan.


Tuntutan itu timbul daripada projek-projek terdahulu serta dimuktamadkan sendiri antara WRE dan penjual dengan penyerahan hak ini dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada 3 Oktober 2025.


"Pembelian tanah itu bertujuan untuk pengembangan perniagaan jangka panjang West River, termasuk cadangan pembinaan pejabat cawangan baharu bagi meningkatkan lagi kecekapan operasi," katanya.


Buat masa ini jelasnya, syarikat masih belum memuktamadkan pelan pembinaan dan tanah berstatus pegangan bebas seluas 3,246 meter persegi itu kini digunakan sebagai tempat letak kereta terbuka.


Bagaimanapun, kawasan itu dikategorikan untuk penggunaan bangunan komersial dan mengakui potensi risiko termasuk kelewatan penyempurnaan urus niaga dan pendedahan kepada kadar faedah pinjaman.


Setakat ini kata West River, belum ada sebarang impak yang ketara dijangka terhadap modal saham, pendapatan sesaham (EPS) atau aset bersih bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025.


"Urus niaga pembelian tanah berkenaan juga tidak melibatkan mana-mana pihak yang berkepentingan dalam kalangan pengarah sendiri atau pun daripada pemegang saham utama syarikat," jelasnya.


Pembelian dijangka disempurnakan selewat-lewatnya November 2025, dan sejajar dengan matlamat strategik kumpulan bagi memperkukuh kehadiran di lokasi berpotensi tinggi. - DagangNews.com