WEIL hotel pertama di Malaysia terima pensijilan ESG, amal pematuhan lestari dan tadbir etika pengurusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

WEIL hotel pertama di Malaysia terima pensijilan ESG, amal pematuhan lestari dan tadbir etika pengurusan

Pensijilan ESG meletakkan Hotel WEIL pada kedudukan tersendiri dalam piawaian industri hospitaliti.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 17 Nov – Hotel WEIL mencipta sejarah apabila menjadi hotel pertama di Malaysia menerima pensijilan ESG (alam sekitar, sosial, tadbir urus) bawah Program Pensijilan ESG untuk Hotel & Resort oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

 

Pensijilan itu merangkumi kerjasama SGS Malaysia dan Saimatrix Integrated, serta sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

 

Penilaian ESG digunakan untuk menilai amalan dan prestasi syarikat dalam aspek kelestarian dan etika. 

 

Ia merangkumi bagaimana syarikat mengurus impak terhadap alam sekitar, hubungan sosialnya dengan pekerja dan komuniti, serta cara ia dikendalikan dan tadbir urus. 

 

Perak
Liew Yu-Wei (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Isaac Raj (tiga dari kanan) semasa menerima pensijilan ESG di hotel tersebut di Ipoh. 

 

Pengarah Urusan WEIL Hotel, Liew Yu-Wei berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen mendalam hotel tersebut terhadap kelestarian, inovasi dan pelancongan bertanggungjawab, sejajar dengan Dasar Pelancongan Negara 2020–2030. 

 

“Proses pensijilan melibatkan latihan intensif, penilaian awal dan pelaksanaan pelan tindakan kelestarian yang menyeluruh menjadikan WEIL Hotel sebagai penanda aras baharu dalam industri hospitaliti negara.

 

"Kami mengejar pensijilan ESG bukan sekadar untuk pengiktirafan, tetapi kerana kami benar-benar prihatin terhadap cara kami mengendalikan perniagaan. 

 

“Pencapaian ini membuktikan bahawa dengan perancangan dan komitmen yang teliti, hospitaliti lestari adalah sesuatu yang boleh dicapai sepenuhnya. 

 

“Kami berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada hotel-hotel lain di Malaysia untuk mengamalkan prinsip ESG dan menyumbang kepada masa depan yang mampan, selaras dengan Matlamat Agenda UN 2030 untuk Pembangunan Mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Perak

 

Perak

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan padu dalam merealisasikan pencapaian ini.

 

"Syabas dan tahniah kepada seluruh warga WEIL atas kejayaan luar biasa ini yang menetapkan penanda aras baharu dalam industri hospitaliti Malaysia," tambahnya.

 

Sementara itu, pihak MOTAC, MAH, SGS dan Saimatrix turut memuji kepimpinan serta semangat kolaboratif WEIL Hotel, menjadikannya inspirasi dan rujukan bagi hotel-hotel lain di seluruh negara.

 

Tambah Liew Yu-Wei lagi, pencapaian ini menggambarkan komitmen WEIL Hotel dalam menyambut tetamu dengan inovasi dan hospitaliti lestari, sekali gus menjadi pemangkin evolusi industri hospitaliti ke arah operasi yang lebih bertanggungjawab dan mampan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan individu, tetapi turut menjadi pemangkin kepada evolusi industri hospitaliti ke arah operasi yang lebih bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan mampan,” tegasnya. - DagangNews.com