WCT perlu buktikan mampu jana keuntungan selepas buku tempahan cecah RM4.28 bilion — Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

WCT perlu buktikan mampu jana keuntungan selepas buku tempahan cecah RM4.28 bilion — Penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 SeptWCT Holdings Berhad perlu memastikan buku tempahan pembinaan yang kini mencecah RM4.28 bilion mampu menghasilkan keuntungan lebih kukuh, menurut penganalisis.

 

Mereka berpandangan, usaha itu wajar dibuktikan selepas syarikat semakin rancak meraih kontrak baharu termasuk projek menara pejabat 41 tingkat yang bernilai RM601 juta di Tun Razak Exchange (TRX).

 

Cabaran itu menjadi perhatian dengan prestasi bahagian pembinaan masih tertekan akibat margin yang lemah, menyebabkan mereka melihat pelaksanaan projek dan pemulihan keuntungan sebagai penting.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap WCT tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada 42 sen, sambil memangkas anggaran keuntungan pada FY27 sebanyak 3%," kata MBSB Research.

 

Penilaian itu ujarnya, berikutan jangkaan margin kejuruteraan dan pembinaan syarikat yang lebih konservatif, namun kontrak TRX meningkatkan buku tempahan daripada RM3.68 bilion pada Jun 2026.

 

Jelasnya, momentum mendapatkan kontrak semakin baik dengan kemenangan kerja dikenal pasti bagi FY26 mencecah sekurang-kurangnya RM2.49 bilion, termasuk projek di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Selain itu tambah MBSB Research, WCT mempunyai pelbagai lagi tawaran tender untuk dibida melebihi RM14 bilion yang berpotensi menyokong pertumbuhan buku tempahan seterusnya jika dapat diperoleh.

 

WCT_DagangNews2026

 

"Kami namun menjangka sumbangan keuntungan kekal tertekan dalam suku yang akan datang, meskipun kemajuan kerja projek infrastruktur dijangka membantu dalam meningkatkan bil," menurutnya lagi.

 

Sementara itu, CGS International (CGSI) mengekalkan saranan ‘tambah’ dan TP RM1.12, dengan menyifatkan kontrak TRX sebagai pencapaian penting bagi membina semula perniagaannya di Malaysia.

 

Jumlah kemenangan kontrak WCT bagi FY26 kini mencecah RM2.5 bilion, melebihi sasaran RM2 bilion, dan ia menjangkakan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) projek TRX itu sekitar kira-kira 6%.

 

Bagaimanapun, CGSI menegaskan minat pelabur hanya akan kembali lebih kukuh jika syarikat dapat menunjukkan peningkatan keuntungan, memandangkan prestasi bahagian pembinaan masih lagi negatif.

 

"Situasi ini sudah berlarutan bagi tiga suku terakhir, dan berdasarkan keadaan itu, kami turut menurunkan unjuran pendapatan sesaham FY26 hingga FY28 masing-masing 46%, 11% dan 11%," katanya.

 

Secara keseluruhan, kontrak TRX dan peningkatan buku tempahan memberikan asas lebih kukuh kepada pemulihan WCT, tetapi keupayaan mengawal kos menjadi penentu utama prestasi saham selepas ini.

 

Pada masa sama, CGSI menilai usaha kumpulan memperbaiki margin dan menukar RM4.28 bilion buku tempahan kepada pendapatan serta keuntungan secara mampan. - DagangNews.com